Seorang lelaki, dua wanita termasuk remaja 17 tahun dicekup di Kuching kerana miliki 11.79 gram syabu

KUCHING: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kuching pada Rabu berjaya menahan seorang lelaki dan dua wanita di sini setelah disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, tangkapan dilakukan hasil serbuan sekitar jam 9.45 pagi di sebuah hotel bajet di Jalan Padungan.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menemui beg milik suspek, yang di dalamnya terdapat paket plastik lut sinar yang menyimpan tiga lagi paket plastik lut sinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan berat kasar 2.38 gram.

“Turut ditemui satu lagi paket plastik lut sinar yang mengandungi lapan paket plastik lut sinar lain, masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah syabu
dengan berat kasar 9.41 gram.

Secara keseluruhan, berat kasar dadah jenis syabu yang dirampas adalah 11.79 gram yang bernilai RM2122.20 di pasaran.

Kata Abang Ahmad, kesemua suspek kemudian ditahan di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk membantu siasatan.

Suspek yang ditangkap merupakan lelaki Melayu, berusia 54 tahun dari Kampung Pinang Jawa manakala suspek kedua, merupakan wanita Iban berusia 27 tahun dari Bandar Baru Samariang.

“Suspek ketiga merupakan remaja perempuan Melayu berusia 17 tahun dari Jalan Baji, Sarikei.

“Ketiga-tiga mereka tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap.

Mengulas kejayaan itu, Abang Ahmad berkata ia adalah hasil kejayaan risikan dan maklumat awam.

“Siasatan awal mendapati saringan suspek lelaki positif dadah jenis Methaphetamine dan memiliki 18 rekod lampau bersabit dadah.

“Dua suspek wanita pula disaring negatif namun suspek yang berusia 27 tahun memiliki enam rekod lampau bersabit kesalahan yang sama,” katanya. – Sarawakvoice