NEW JERSEY: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, merakamkan terima kasih kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin, setelah  memerintahkan pengusiran 755 staf diplomat AS.

Trump ingin berterima kasih kepada Putin kerana telah menjimatkan anggaran AS, katanya kepada para wartawan di kelab golf miliknya di Bedminster, New Jersey.

“Saya berterima kasih kepadanya kerana kami berupaya mengurangkan sejumlah besar kakitangan dan juga mengurangkan anggaran pengeluaran untuk gaji dan saya sangat bersyukur dia mengusir banyak orang,” kata Trump seperti dipetik BBC Indonesia.

Trump berkata “tidak ada sebab bagi mereka untuk kembali” dan “kita akan menjimatkan banyak wang,” dalam responsnya yang berbeza daripada reaksi presiden lain dalam keadaan yang sama pada masa lalu seperti dipetik Reuters.

Pada akhir Julai lalu, Putin memerintahkan pengusiran 755 staf diplomat Amerika Syarikat setelah Washington menerapkan rangkaian saksi terhadap Moscow.

Putin menegaskan ke-755 orang itu harus sudah angkat kaki dari Rusia pada 1 September mendatang, kata BBC lagi.

Dengan demikian, jumlah staf diplomat AS di Rusia bakal berjumlah 455 orang, sama dengan jumlah staf Rusia di AS.

Kata portal BBC itu lagi, pengusiran 755 staf diplomat AS dari Rusia boleh jadi pengusiran dalam jumlah terbesar dari suatu negara dalam sejarah moden.

Ratusan orang itu, menurut BBC, termasuk staf diplomat dari pelbagai kawasan di Rusia.

Akan tetapi, mereka yang diusir diyakini ‘warga tempatan’ sehingga jumlah yang harus angkat kaki dari Rusia sebenarnya kurang daripada 755 orang.

Pada hari Khamis, Jabatan Negara tidak memberi reaksi segera terhadap komen Trump itu. – Sarawakvoice