KUALA LUMPUR: Pas menyifatkan Pindaan Akta Membaharui Undang-Undang Perkahwinan dan Penceraian 1976 ( Akta 164) sangat penting  kerana melibatkan kepentingan agama, keadilan dan undang-undang pula melibatkan muslim dan non-muslim sedang kedua-dua pihak perlu diberikan keadilan dan memulangkan hak mereka.

Ketua Penerangan Pas Pusat Nasrudin Hassan berkata, meluluskan Akta 164 (pindaan) 2016 setelah dikemukakan kembali pada hari Selasa lalu ke Dewan Rakyat secara tergesa-gesa, pasti sahaja masih tidak dapat menyelesaikan masalah yang kompleks dan berlangsung polemiknya sejak sekian lama.

Justeru itulah, katanya dalam satu kenyataan,  Pas  sebelumnya mencadangkan supaya Akta 164 (Pindaan) 2016 ini ditarik balik atau ditangguhkan.

Rasionalnya supaya pindaan Akta 164 diteliti semula sebelum diangkat dan dibahas dengan perhatian kepada:

i  mengambil kira fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan lantaran ia melibatkan agama.

ii – melihat kepentingan dan isu berbangkit melibatkan saudara baru (muallaf) mendepani kehidupan mereka dalam suasana baru.

iii – mengambil kira pandangan dan aduan dari pihak non-muslim serta masalah yang mereka hadapi untuk memberi dan memulangkan hak mereka.

iv – meluruskan Pindaan Akta 164 dengan peruntukan perlembagaan yang meletakkan hak kepada semua dengan Islam sebagai Agama Persekutuan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

v – demikian juga peruntukan Senarai II Jadual 9 (bidang kuasa negeri apabila menyentuh undang-undang diri dan keluarga seseorang yang menjadi muslim)

vi – percanggahan dengan Akta 303 Seksyen 46(A) dan enakmen-enakmen negeri yang memperuntukan peruntukan yang sama.

Bagi merealisasikan maksud itu, beliau berkata, Pas melalui Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyudin Hassan telah mengemukakan suatu cadangan penting:

i – supaya kerajaan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas yang dianggotai oleh pelbagai pihak berkepentingan melibatkan kerajaan, parti politik, NGO, agensi agama dan sebagainya bagi membincang secara halus dan terperinci pindaan Akta 164 ini.

Namun kiranya kerajaan bermaksud mahu meluluskan juga Pindaan Akta 164 tanpa menimbang cadangan PAS supaya menangguhkan pindaan ini, maka MP Kota Bharu mencadangkan penyelesaiannya:

ii – menubuhkan badan atau Tribunal Mediasi bagi mengharmonikan penyelesaian antara pihak yang berpolemik. Terdiri dari pihak berwajib, pakar perundangan, pihak berauthoriti dari kedua-dua pihak yang terlibat dan sebagainya.

Katanya, Ahli parlimen Kuala nerus  Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri menambah agar Tribunal Mediasi ini diaktakan supaya ia menjadi satu sistem penyelesaian, mengelak konflik agama, keluarga dan kaum.

Usaha Ahli-Ahli Parlimen Pas yang menggesa supaya ditangguhkan Pindaan Akta 164 ini gagal kerana tidak disambut oleh pihak Ahli Parlimen Barisan Nasional apatah lagi pembangkang yang lain.

Katranya,  percubaan untuk membuat belah bahagian (mengundi) juga gagal kerana syarat layak mohon mengundi ialah mesti berdiri menyokong oleh 15 Ahli Parlimen.

Perbahasan yang membawa pendirian Pas telah diwakilkan kepada Takiyuddin juga sebagai Ketua Whip Pas dan Dr Khairuddin Aman.

Akhirnya Pindaan Akta 164 diluluskan di peringkat Dasar dan Jawatankuasa sekitar jam 1.00 pagi dengan menyaksikan hanya Pas yang membantah. – Sarawakvoice