MIRI: Selain terlibat dalam pembangunan pendidikan negeri dengan memberi biasiswa kepada pelajar, Petronas melalui Pelaburan Sosial Korporatnya (CSI) terus menjalankan projek meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar di Sarawak.

Sementara, CSI Petronas turut terlibat dalam program memelihara alam sekitar.

Ketua Pembangunan dan Pengeluaran Aset Minyak Malaysia Sarawak (Hulu) Petronas Carigali Sdn Bhd Anuar Ismail berkata antara projek CSI terkini yang dilaksanakan di Sarawak ialah Projek Ekomarin Petronas-Sarawak Forestry.

Projek ekomarin berkenaan yang dilaksanakan di Kompleks Tukun Sibuti bernilai RM8 juta.

Anuar menurut Bernama berkata, projek ini mampu membawa pulangan sosioekonomi besar kepada penduduk Sarawak, terutama masyarakat tempatan di Miri.

Projek CSI Petronas di Miri dan kawasan utara memberi manfaat alam sekitar dan sosioekonomi ini akan meletakkan Miri dalam peta selam dunia.

Ini dengan sendirinya menjadi pemangkin industri pelancongan yang penting bagi memacu ekonomi negeri.

Bercakap pada majlis makan malam Jaringan Petronas-Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA), Anuar menyifatkan projek ekomarin berkenaan turut mampu menyumbang pertambahan populasi ikan lebih tinggi di perairan Miri.

Hal ini menurut beliau memberi lebih peluang menangkap ikan dan menambah pendapatan kepada nelayan tempatan. – Sarawakvoice