Pertikaian Akta 164: Pas ambil beberapa inisiatif

KUALA LUMPUR: Pas  akan menganjurkan Muzakarah Perundangan dalam masa terdekat melibatkan alim ulamak, ahli akademik, pakar perundangan,  pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  Islam dan pihak berkenaan bagi melihat secara lebih terperinci kesan pindaan Akta 164 ke atas umat Islam dan rakyat keseluruhannya.

Ketua penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata,  bagi menangani  pertikaian dan perselisihan yang masih wujud, Pas akan mengambil beberapa langkah dan inisiatif.

Katanya, Pas  akan mengangkat beberapa cadangan terhadap pindaan Akta 164 kepada pihak kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman sebelum dibawa ke Dewan Negara demi menjaga kemaslahatan agama dan umatnya.

“Pertemuan dengan Menteri akan diatur dalam masa terdekat,” katanya.

Menurut  Nasrudin, berikutan langkah kerajaan yang telah menubuhkan Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS), Pas menyarankan supaya Kluster Pengharmonian Undang-Undang Sivil-Syariah boleh dijadikan platform yang tuntas untuk membincangkan semula isu berbangkit dari Pindaan Akta 164 agar hak Islam sebagai agama negara terpelihara dan polemik antara agama dan kaum dapat diharmonikan.

Keanggotaan kluster ini boleh dilibatkan semua  pemegang taruh dan pihak yang berkepentingan, katanya.

“Insya-Allah, PAS sekali lagi akan menggunakan platform Dewan Negara melalui senatornya untuk mengemukakan gesaan kepada kerajaan supaya meneliti semula secara holistik pindaan Akta 164, agar terlebih dahulu mengambil kira beberapa pandangan yang dikemukakan oleh Pas dan pakar perundangan Islam sebelum ianya dimuktamadkan,” jelasnya.

Katanya, Pas merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak kerajaan kerana mendengar desakan dan tuntutan Pas,  para mufti, alim ulamak, pengamal undang-undang Islam, NGO dan umat Islam untuk mengeluarkan cadangan Seksyen 88A dari draf pindaan Akta 164 baru-baru ini biarpun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk DAP dan Parti Amanah Negara. – Sarawakvoice