Pemandu pelancong S’wak kurang ketika kehadiran pelancongan meningkat

KUCHING: Bayaran yuran tinggi dikenakan terhadap peserta yang mahu mengikuti kursus dan mendapat sijil sah pemandu pelancong merupakan antara sebab berlaku kekurangan pemandu pelancong di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengakui pihaknya difahamkan Sarawak menghadapi kekurangan pemandu pelancong.

Memetik Bernama, Abdul Karim pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Penerbangan Sulung AirAsia Kuching-Langkawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) berkata, sejajar perkembangan industri pelancongan di negeri ini, Sarawak ternyata memerlukan ramai pemandu pelancong terlatih.

Justeru, masalah kekurangan pemandu pelancong terlatih dan berdaftar ini perlu diatasi segera.

Abdul Karim berkata, sekiranya yuran terlalu tinggi untuk mendapatkan sijil latihan, pihaknya sedia memberi subsidi bagi tujuan itu.

Bahkan, sekiranya peserta perlu ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan sijil tersebut, pihaknya sedia membawa kursus berkenaan ke Sarawak.

“Kami mahu pemandu pelancong kami didaftarkan dan dilatih dengan sewajarnya agar mereka dapat memberi perkhidmatan yang baik kepada pelancong,” ujar Abdul Karim.

Statistik ketibaan pelancong di Sarawak Januari-Mei 2017 merekodkan kehadiran pelancong asing meningkat lebih 1.146 juta berbanding 873,471 ketibaan pada 2016.

Manakala, bagi ketibaan pelancong dari Semenanjung pada tempoh yang sama 2017 turut meningkat 561,532 berbanding 456,821 pada 2016.

Pelancong domestik turut meningkat 951,165 orang pada 2017 berbanding 933,072 pada 2016. – Sarawakvoice