Meratapi bahasa dan dialek pribumi Sarawak yang hilang

Tujuh dialek tempatan di Sarawak diancam kepupusan.  Dialek yang hampir pupus, berikutan pengecilan populasi penuturnya ialah Tatau, Lugat, Narum, Sihan, Lahanan, Baketan, dan Seru.

Tidak banyak penutur yang menguasai dialek atau bahasa berkenaan.

Antara yang  berada dalam kedudukan terancam ialah dialek Narum yang dituturkan masyarakat minoriti tidak jauh dari pekan Marudi.

Narum mendakwa berasal dari Madien, baram Tengah, kawasan tumpuan masyarakat Kayan dan Kenyah.

Tidak hairanlah dari segi kognat, terdapat persamaan yang dekat antara dialek Narum dengan dialek Kenyah.

Narum merupakan kumpulan serpihan yang kemudiannya berhijrah ke hilir.

Mereka menggunakan nama Melayu dan adat Melayu.

Dianggarkan hanya terdapat 4,000 penutur dialek berkenaan, dengan generasi muda semakin kurang menggunakannya, selain kurang menguasainya.

Sikap penutur jati yang tidak begitu mengendahkannya menjadi antara punca dialek itu terancam, selain tentunya pendedahan mereka kepada bahasa Melayu baku.

Kahwin campur juga menyumbang kepada kepupusan apabila anak-anak tidak lagi diajar bahasa berkenaan.

Pasangan terbabit mencari jalan mudah dengan menggunakan bahasa Melayu standard atau bahasa Melayu Sarawak.

Dijangka dalam tempoh 20 tahun dialek itu akan pupus dari muka bumi – sesuatu yang tentunya amat dikesali.

“Jika tidak dapat dipulihara serta tidak ada langkah-langkah serta usaha bersepadu untuk memuliharanya, bahasa tersebut akan pupus dan hilang,”  kata Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg  ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengajian Bahasa (ICLS) 2017 di Kuching Rabu lalu

Sesungguhnya, adalah satu kerugian besar jika mana-mana dialek dan bahasa di negeri ini pupus.

Justeru, segera  perlu diambil untuk menyelamat dan memuliharanya.

Pada majlis itu, Abang Johari mahu persidangan antarabangsa ini menjadi forum untuk mengkaji kesan globalisasi terhadap bahasa dan budaya peribumi selain memperkasa komuniti penyelidik dan pengamal agar dapat terus melestarikan bahasa dan budaya tempatan di rantau ini.

“Dunia sedang mengalami proses globalisasi yang pesat dan digitalisasi secara politik,

“Ia telah memberi impak kepada orang ramai dari semua peringkat umur di seluruh dunia.

Oleh itu, tiba masanya komuniti penyelidik dan pengamal, serta ahli dan pemimpin masyarakat peribumi berkolaborasi dengan institusi pengajian tinggi tempatan dan asing untuk memelihara, memulihara dan menghidupkan semula bahasa asli dan warisan budaya mereka untuk generasi akan datang.

Semua bahasa itu bukan sahaja perlu segera direkodkan dan didokumentasikan, tetapi yang lebih penting masyarakat penutur terbabit perlu menggunakan dialek berkenaan dengan aktif.

Implikasinya amat besar apabila sesuatu dialek dan bahasa pupus.

Memori kolektif dan kekayaan pengalaman dan kearifan tempatan yang didukung dialek dan bahasa berkenaan akan turut pupus bersama-sama kepupusannya.

Kita akan kehilangan dialek dan bahasa berkenaan untuk selama-lamanya apabila ia sudah pupus dan tidak lagi digunakan.

Tidak ada gunanya lagi kita meratap kehilangannya. Nasi sudah menjadi bubur.

Untuk tindakan segera, senarai perkataan dialek berkenaan perlu diterbitkan.

Kita ingin melihat Sarawak terus kaya dengan pelbagai dialek dan bahasa. Kita mahu melihat dialek dan bahasa pribumi terus dapat melihat sinar mentari abad ke-22. – Sarawakvoice