Majlis Islam Sarawak serah tiga tabika 11 taska kepada KEMAS untuk jaminan kendalian profesional

KUCHING: Sebanyak tiga buah Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) dan 12 buah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) yang sebelum ini dikendalikan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS) kini diambil alih oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Malah proses pengambil alihan tersebut melibatkan 26 guru dan pembantu, manakala nama Tadika dan Taska Masjid kini bertukar kepada Tabika Kemas Masjid dan Taska Permata Kemas Masjid.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, proses pengambilan ini adalah wajar dan profesional memandangkan pendidikan awal kanak-kanak amat penting dalam mewujudkan masyarakat yang berilmu dan berpendidikan.

“Kerana itu Majlis Islam Sarawak (MIS) menyerahkan tanggungjawab ini kepada pihak KEMAS kerana mereka lebih arif dan berpengalaman dalam mengendalikan pengurusan, pentadbiran dan pengoperasian tabika dan taska masjid ini,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian berhubung penyerahan tersebut semalam.

Pihak KEMAS ketika ini bertanggungjawab terhadap 1,540 tabika dan 81 taska di seluruh negeri Sarawak.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Urbanisasi dan Sumber Alam II Sarawak menambah, penyerahan tanggungjawab ini berlaku berlandaskan kesedaran bahawa untuk menjadi sebuah negara yang berdaya saing, ilmu pengetahuan dan pendidikan adalah perkara utama.

“Melalui pendidikan kita dapat melahirkan generasi yang berkemahiran serta memiliki keupayaan intelektual yang tinggi,” ujarnya lagi.

Biarpun tabika dan taska ini telah berpindah tangan kepada pihak KEMAS, pihak MIS masih berperanan dalam memastikan enrolmen kanak-kanak dengan minimum 10 orang dan maksimum 25 orang untuk menjayakan pengoperasian sesebuah kelas.

MIS juga akan membiayai elaun Guru Tadika dan Pengasuh Taska Masjid sehingga mereka dilantik ke dalam skim perkhidmatan tetap Kerajaan dengan sekurang-kurangnya hingga mencapai tahap S29.

Pengambilan ini turut melibatkan implikasi kos yang agak besar iaitu sebanyak RM850 ribu setahun; yang digunakan untuk membiayai emolumen, geran perkapita dan bantuan makanan tambahan. – Sarawakvoice