Mahfuz: Rakyat sakit hati pada Pas, jadi bahan ketawa peminat lawak jenaka

SHAH ALAM:  Ternyata kecewa dengan kenyataan dan pendirian Pas yang berpuas hati dengan hasil sesi meja bulat bagi membincangkan isu 1MDB, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar hairan dan bertanya justifikasi parti berkenaan berpuas hati dengan pelan rasionalisasi 1MDB.

“Kenyataan ‘Pas puas hati plan rasionalisasi 1MDB’ bukanlah satu solusi sebaliknya menyebabkan rakyat sakit hati pada Pas dan menjadi bahan ketawa peminat lawak jenaka sampai tak kering gusi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahfuz mendakwa partinya telah diperdaya dalam isu ‘penjelasan 1MDB’ , justeru beliau hanya mampu menzahirkan ucapan takziah kepada partinya itu.

“Di mana rasionalnya pelan rasionalisasi 1MDB yang membuatkan parti saya (Pas) berasa ‘puas hati’ itu?” katanya dalam satu kenyataan.

“Dalam hal ini, tiada apa yang dapat saya katakan melainkan saya ingin mengucapkan takziah kepada Ustaz Tuan Ibrahim dan parti saya yang terang-terang diperdayakan oleh ‘ahli silap mata’ sedangkan hakikat sebenar skandal 1MDB ini amat jauh lagi jalan penyelesaiannya,” ujarnya.

Beberapa hari lalu, pimpinan tertinggi Pas yang diketuai Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man bertemu dengan Arul Kanda Kandasamy bagi mendengar penjelasan daripadanya mengenai isu 1MDB.

Di akhir pertemuan Pas dilaporkan  berpuas hati dengan hasil sesi meja bulat bagi membincangkan isu tersebut.

Justeru, Mahfuz berkata, beliau turut mahu mengucapkan ‘tahniah’ kepada Arul Kanda Kandasamy dan ‘pakar ekonomi’ yang turut serta dalam pertemuan meja bulat itu kerana berjaya meyakinkan Tuan Ibrahim dan partinya sehingga rasa berpuas hati dengan langkah-langkah pemulihan 1MDB yang sedang dilaksanakan sekarang.

“Skandal 1MDB yang disimpulkan sebagai ‘nasi sudah menjadi bubur’ itu amat jijik dan meloyakan rakyat kerana bubur yang terhasil itu sudah basi akibat ketidaktahuan tentang selok-belok peralatan yang menjadi penyebabnya,” katanya. – Sarawakvoice