Lu jangan datang dekat, datang dekat aku terjun!

KUCHING: “Lu jangan datang dekat, jangan tangkap. Datang dekat aku terjun!

Itu tindakan nekad seorang lelaki selepas memanjat bumbung sebuah rumah, setelah menyedari tindakannya mencerobohi premis kediaman berhampiran Wisma Naim di Lorong Permata 1, Jalan Rock di sini dihidu polis.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, suspek berkata demikian, selepas diarahkan turun oleh anggota polis yang tiba di lokasi.

“Terdahulu, pada jam 11.30 malam Rabu lalu, Balai Polis Sungai Maong telah dimaklumkan oleh seorang wanita Cina tempatan bahawa seorang lelaki yang tidak dikenali dan mencurigakan, sedang berdiri di belakang rumahnya.

“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan Unit Peronda Polis bergegas ke lokasi, sebelum kehadiran mereka disedari suspek.

Suspek yang memanjat bumbung untuk mengelak daripada dicekup kemudian mengugut untuk terjun, menyebabkan pasukan yang terlibat meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, sebagai langkah berjaga-jaga.

“Bagaimanapun selepas satu setengah jam melakukan rundingan, suspek berjaya dipujuk, dan akhirnya dibawa turun.

“Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Sungai Maong untuk siasatan lanjut, sebelum tindakan seterusnya diambil.

Suspek merupakan seorang penganggur yang berusia 35 tahun dan berasal dari kawasan Batu 3, Jalan Penrissen dekat sini.

Bagaimanapun kata Abang Ahmad, sehingga semalam pihaknya masih belum menerima sebarang laporan polis berkait insiden ini namun penahanan dilakukan di bawah Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah, bagi pencegahan jenayah.

“Suspek tiada rekod kesalahan lampau manakala ujian air kencingnya negatif,” katanya lagi. – Sarawakvoice