Lelaki mabuk dicekup, tunjuk kuat berkelahi, cederakan empat lelaki di Travillion

KUCHING: Mabuk menjadi punca seorang lelaki Melayu “tunjuk kuat” awal pagi semalam hingga mengajak beberapa individu berkelahi di luar sebuah pub di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, dengan bersenjatakan pisau lipat, suspek yang berusia 24 tahun mencabar beberapa lelaki di kawasan Travillion, yang akhirnya menyebabkan pergaduhan meletus.

“Pergaduhan ini menyebabkan empat lelaki dalam lingkungan umur 18 ke 31 tahun telah cedera dan menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.

“Pihak kita menerima maklumat insiden sekitar jam 3.30 pagi dan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching diaturgerakkan ke lokasi.

Pasukan terbabit, kata Abang Ahmad, telah berjaya menahan suspek, iaitu seorang lelaki Melayu berumur 24 tahun untuk membantu siasatan.

“Suspek turut cedera di bahagian kepala kerana pergaduhan ini.

Permohonan reman katanya, akan dipohon pada hari ini (Jumaat) bagi membolehkan pasukan polis melanjutkan siasatan.

Kes disiasat bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya. – Sarawakvoice