Lelaki kantoi dicekup dengan 31.64g dadah di hotel bajet di Padungan

KUCHING: Polis Kuching berjaya menahan seorang lelaki dan merampas dadah seberat 31.64 gram di sebuah hotel bajet di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat risikan, yang kemudian membawa kepada serbuan sekitar jam 9.30 pagi di Jalan Padungan.

“Serbuan itu menghasilkan tangkapan seorang lelaki Melayu dari Kampung Tabuan Foochow No. 1 dekat sini,” katanya ketika dihubungi.

Pemeriksaan lanjut oleh pasukan Bahagian Jenayah Narkotik di bilik tidur suspek katanya, kemudian menemui satu beg hitam jenama Coach di atas katil.

“Apabila dibuka, terdapat satu kad pengenalan milik suspek, selain satu paket plastik lut sinar, yang di dalamnya tersimpan tiga lagi paket plastik lut sinar.

“Setiap paket berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan berat kasar 17.69 gram dan satu paket plastik lut sinar yang mengandungi tiga paket plastik lut sinar lain yang masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan berat kasar 3.36 gram.

Menurutnya, turut ditemui satu paket plastik lut sinar berisi empat biji pil berwarna merah disyaki ecstasy seberat kasar 1.45 gram, satu paket plastik lut sinar yang mengandungi tujuh paket plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan berat kasar 9.18 gram dan satu paket plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan berat kasar 0.96 gram.

“Jumlah berat kasar keseluruhan dadah syabu yang dirampas ialah 31.19 gram dan dadah disyaki ecstasy 1.45 gram.

Kata Abang Ahmad, hasil saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis Methaphetamine manakala semakan lanjut mendapati dia memiliki tiga rekod lampau bersabit dadah.

Secara keseluruhan katanya lagi, dadah-dadah ini dianggar bernilai RM5854.20 di pasaran, termasuk empat biji pil ecstasy yang bernilai RM60 sebiji.

Suspek kata Abang Ahmad, kini ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 15(1) dan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Sarawakvoice