Khazanah biodiversiti bakal lonjakkan Sarawak dalam peta pelancongan dunia – Duta Thailand

KUCHING: Sarawak berpotensi untuk menjadi destinasi pelancongan terkemuka kerana khazanah biodiversitinya, kata Duta Thailand ke Malaysia, Damrong Kraikruan.

Menurutnya, keunikan itu boleh dijadikan produk seperti juga beberapa tempat di Eropah, menggunakan alam semula jadi sebagai tarikan pelancongan.

“Cuma yang perlu diperkasa adalah aktiviti promosi, kerana di Thailand sendiri, Malaysia pada tanggapan konservatif penghuninya hanyalah tanah Semenanjung.

“Borneo dilihat sebagai tempat yang lain, apatah lagi Sarawak.

“Sedangkan Sarawak juga sebahagian daripada Malaysia dan menawarkan kepelbagaian dan keindahan alam semula jadi serta hutan hijau,” katanya terlibat dalam Forum Perkongsian dan Perniagaan Malaysia-Thailand di sini semalam.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya, Sarawak boleh mengambil iktibar daripada negara gajah putih itu yang kini menerima kebanjiran 32 juta pelancong setahun, yang berbelanja sekitar USD63 bilion pada tahun lalu.

“Istimewanya Thailand ialah ia negara yang bebas dan aktiviti pelancongannya tiada sekatan.

“Jumlah pengunjungnya sentiasa meningkat biarpun negara itu pernah dibadai tsunami dan diancam demonstrasi jalanan.

Kata Damrong, antara resepi kejayaan pelancongan negara itu adalah pengalaman panjangnya dalam sektor pelancongan.

“Ia bermula pada tahun 1959 dengan penubuhan Jabatan Pelancongan Thailand dan pada 1987, negara itu telah memulakan kempen Tahun Melawat Thailand.

“Pada masa yang sama, kita ada 15,000 rangkaian restoran Thailand di serata dunia, dan keenakan makanan Thai merupakan produk promosi yang cukup efektif.

Jelasnya lagi, faktor yang tidak kurang penting ialah pemberian visa percuma kepada lebih 80 buah negara, selain visa ketika ketibaan untuk lebih 40 buah negara.

“Ini amat memudahkan pelancong dan keselesaan ini menggalakkan mereka datang dan tinggal lama di sini,” katanya lagi.

Katanya, konektiviti penerbangan juga memainkan peranan penting, sambil pada masa yang sama, perlu banyak aktiviti yang bersesuaian untuk pelancong, bagi mengelakkan mereka bosan tinggal lebih lama.

Damrong berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjalinkan hubungan dengan Sarawak, dan berharap sesuatu dapat dicapai di antara kedua-dua pihak, terutama dalam urusan perniagaan dan pelancongan selepas ini. – Sarawakvoice