Kerajaan mahu kampung di Malaysia maju, wujudkan program dan latihan kepimpinan bersesuaian — Ismail Sabri

KUCHING: Kerajaan sentiasa komited untuk memperkukuh institusi kepimpinan di peringkat kampung, bagi menjamin kecekapan tadbir urus melalui penyediaan program-program latihan bersesuaian secara  berterusan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, ini penting kerana kerajaan sedar faktor penentu kejayaan sesebuah kampung bergantung rapat pada kecekapan kepimpinan dan urus tadbir di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan Rumah Panjang.

“Kerana itu kita memperkenal Program Anugerah Desa Perdana (ADP), yang merupakan inisiatif untuk memacu pembangunan luar bandar dalam persekitaran yang lestari dengan komuniti yang sejahtera.

“Menerusi program ini kita berharap mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memimpin kampung secara adil serta mewujudkan suasana sejahtera dan muafakat.

Program ini juga tegasnya, bertujuan menyuburkan semangat patriotisme di peringkat akar umbi selain memajukan sosioekonomi desa secara mampan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Desa Perdana Peringkat Negeri Sarawak 2017 yang dirasmikan Menteri Utiliti, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom di Kompleks Dewan Undangan Negeri (Lama), di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Dalam konteks hari ini, tambahnya lagi, penekanan kepimpinan kampung turut dipanjangkan kepada pelbagai program lain termasuk keusahawanan merangkumi perniagaan atas talian, program kemahiran, teknologi maklumat dan aktiviti pertanian.

Sebanyak 582 kampung tradisional termasuk rumah panjang dan kampung orang asli di seluruh negara layak dipertandingkan untuk anugerah ini di peringkat daerah.

Daripada jumlah itu, sebanyak 159 kampung lagi akan bertanding di peringkat negeri manakala 23 kampung akan berentap di peringkat kebangsaan; mewakili negeri masing-masing.

Kemuncak program akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 Ogos ini dengan penyampaian Anugerah Desa Perdana peringkat kebangsaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – Sarawakvoice