Dr Awang Azman Awang Pawi

Pertembungan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dengan Raja Petra Kamarudin  ibarat dua gergasi media bertembung.  Di satu pihak, Raja Petra menuduh editor  Sarawak Report tersebut, cuba membisukan  beliau seumur hidup melalui  perintah mahkamah.  Malah, di satu peringkat hingga cuba  menyabitkannya hingga ke mahkamah.

Baru-baru ini beliau mendedahkan  menerima  notis undang-undang daripada Sarawak report agar menarik balik atau mengeluarkan  semua tulisan  tentang Clare yang diterbitkan oleh portal media yang diselenggarakan oleh Raja Petra, iaitu Malaysia Today. Selain itu, Raja Petra dituntut untuk membuat permintaan maaf secara  bertulis untuk disiarkan.

Namun bagi Raja Petra, beliau tidak mahu mengalah  dan sanggup mempertahankan apa-apa yang beliau percaya bebas untuk menulis  dan memperkatakan apa-apa yang beliau percaya benar.  Di sisi lain,  Clare juga percaya beliau bebas menulis dan memperkatakan apa-apa yang beliau yakini benar.

Malah Raja Petra percaya wujud gerakan anti-Najib  yang turut cuba menjatuhkannya.  Sehingga kini Raja Petra  merupakan salah satu kekuatan besar dan ampuh dalam mempertahankan Perdana Menteri dan ini dipercayai menjadi kebimbangan pihak di sebelah yang cuba menjatuhkan Najib.

Mereka tahu selagi ada Raja Petra menyokong Perdana Menteri melalui tulisan, kritikan dan perang propaganda  selagi itulah Najib sukar dijatuhkan. Pelbagai pendedahan demi pendedahan Raja Petra tampilkan mengenai kerenah pembangkang termasuk cerita  di sebalik tabir yang jarang-jarang diketahui oleh khalayak.  

Raja Petra  pernah  menggambarkan  Rewcastle-Brown sebagai agen Tun Mahathir Mohamad.  Maknanya, apa-apa tindakan  Clare tidak dapat lari daripada matlamat gerakan yang cuba dilakukan oleh Tun Mahathir.  Malah menurut Raja Petra terdapat komplot politik  dan perniagaan yang  menaja kempen antarabangsa untuk mendesak  Perdana Menteri terpelanting dari pejabat di Seri Perdana.

Sejauh manakah yang ditulis oleh Raja Petra benar? Adakah benar terdapat komplot dan rangkaian peniaga menaja  kempen antarabangsa  untuk mengesa Perdana Menteri berundur? Adakah ini suatu campur tangan asing? Terpulang kepada kebijaksanaan pembaca untuk menilainya.

Hakikatnya, Raja Petra banyak  melakukan serangan balas apa-apa isu atau dakwaan mengenai  Perdana Menteri. Hal ini dilakukan dengan pendedahan atau pembocoran ‘maklumat dari dalam’.

Pembocoran maklumat dari dalam  merupakan kekuatan  utama dalam penulisan Raja Petra. Kadangkala  pembocoran tersebut mampu merencatkan gerakan pembangkang.

Ada-ada sahaja sumber dari dalam yang diperoleh Raja Petra dan kadangkala juga sukar ditangis oleh pihak pembangkang. Sudah pasti ini menjadi kebimbangan besar kepada pembangkang ancaman tulisan daripada Raja Petra.

Secara tidak langsung, tulisan Claire ialah pesaing kepada Raja Petra yang mempunyai pegangan dan kepercayaan politik yang berbeza.    Saingan inilah dapat kita lihat masing-masing  cuba menentang antara satu sama lain.  Inilah lumrah dalam zaman kebebasan suara dan media.

Raja Petra juga mendakwa  bahawa selepas  gerakan anti-Najib, Tun Mahathir dan Sarawak Report tewas dalam  ‘mahkamah pendapat awam’, pihak Sarawak Report akan menggunakan sistem mahkamah  untuk  membisukannya. Akhirnya matlamat  menggunakan sistem mahkamah menurut Raja Petra adalah untuk mencegahnya daripada terus menulis.

Kebimbangan Sarawak Report menurut  Raja Petra  hingga pada satu tahap, “mereka mahu saya  menerbitan kemaafaan,  yang akan mereka drafkan,  dan  berjanji dalam penulisan tidak akan  menerbitkan artikel mengenai Clare dan Sarawak report lagi”.

Bagi Raja Petra hal ini sukar diterimanya memandangkan  masing-masing percaya terhadap kebebasan media dan bersuara.  Setakat ini,  Raja Petra menyatakan tidak akan tunduk terhadap tuntutan tersebut dan menyatakan ia sesuatu yang tidak dapat diterimanya.

Kata-kata Raja Petra ditujukan kepada Tun Mahathir, Clare dan Sarawak Report sangat jelas. Tegas beliau,“Do your worst. We have both now crossed the Rubicon and there is no longer any turning back.”

Terbaharu, Clare  membuat laporan  menentang Raja Ptera di United Kongdom dan terus memberikan amaran kepada Raja Petra daripada terus menulis tentangnya.  Rumah Raja Petra sudah diketuk pintu oleh polis UK  yang membawa dakwaan Clare bahawa tulisan  Raja Petra menyebabkan  pembaca membencinya mengenai isu keagaamaan dan perkauman.  

Raja Petra pula menyelar Clare  seumpama sebagai “”a perfect example of white supremacy at its worst”.  Di satu sisi lain, Raja Petra berhujah Clare sendiri menulis tentang  orang lain termasuk Perdana Menteri, namun apabila beliau menulis tentang Sarawak Report pula seolah-olah cuba disekat untuk menulis seperti situasi laporan polis di UK ini.

Di manakah noktah akhir Clare dalam isu politik negara dan adakah Raja Petra yang dianggap warlord media portal akan berpeluang bermain dengan bersaing dengan Clare di padang yang rata? Hal ini dijangka berterusan hingga kempen pilihan raya umum nanti. – Sarawakvoice