Syarikat Singapura berminat tubuh institusi pascarawatan di Sarawak — Abdul Karim

KUCHING: Sarawak dijangka akan menerima pelaburan dari Singapura bagi memantapkan segmen pelancongan kesihatannya.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pelaburan itu dalam bentuk penyediaan insitusi pascarawatan yang menawarkan ruang rehat dan santai bagi pesakit-pesakit luar negara yang mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta di negeri ini.

“Perkara ini sedang diperhalusi, dan akan dibawa kepada Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg untuk kelulusan.

“Tetapi menyedari, Ketua Menteri turut berminat terhadap pelancongan kesihatan, saya yakin cadangan ini tidak berhadapan masalah,” katanya ketika menjawab soalan peserta semasa Forum Perkongsian dan Perniagaan Thailand-Malaysia di sini sebentar tadi.

Difahamkan, syarikat yang berminat menanam modal di Sarawak ini ialah syarikat terkemuka dalam pascarawatan di Singapura, Health City Novena.

Abdul Karim dan Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapa’ee telah berkunjung ke institusi tersebut pada bulan lalu bagi meninjau kemudahan yang disediakan pihaknya.

Menjelas lanjut, Abdul Karim berkata, Sarawak pilihan yang baik kerana kosnya lebih murah berbanding Singapura.

“Ketika ini semakin banyak pusat rawatan swasta diwujudkan di Sarawak, dan ia menawarkan bukan sahaja perkhidmatan yang baik serta berkualiti, malah pulangan yang lumayan kepada sektor pelancongan negeri ini.

“Sekitar 70 ke 80 peratus pesakit di pusat rawatan ini adalah orang luar, termasuk sejauh Jakarta, Indonesia,” jelasnya.

Beliau berkata, perbincangan kini turut dilakukan untuk menawarkan perkhidmatan kesihatan kosmetik di negeri ini, sebagai tarikan terbaharu.

“Ketika ini, hanya Pulau Pinang dan Melaka menawarkan khidmat tersebut di negara ini,” katanya lagi.

Pelancongan kesihatan merupakan salah segmen pelancongan yang sedang dipopularkan di negeri ini, selain pelancongan sukan dan kunjungan perniagaan. – Sarawakvoice