Rapelson bidas Rohani, desak kenyataan lebih konsisten untuk kes rogol kanak-kanak

Semalam, satu kenyataan media telah dibuat oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarat yang mengatakan bahawa si perogol tetap besalah dan dijatuhkan hukuman walaupun berkahwin dengan mangsanya.

Namun demikian, terlebih dahulu, Rohani di Parlimen berkata, mangsa rogol kini berada dalam “keadaan baik” setelah berkahwin dengan si perogol.

Ia merujuk kepada kes di Sabah 4 tahun lalu berkait seorang budak perempuan berusia 12 tahun (kini 16 tahun) yang telah dikahwinkan dengan si perogol yang berusia 44 tahun. Si perogol kini menjalani hukuman penjara 10 tahun sejak tahun 2015 lalu.

Adalah amat memalukan kenyataan sebegini keluar daripada mulut seorang menteri, apatah lagi menteri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat. Apakah yang sedang berlaku di Malaysia?

Kes berkenaan menjadi sensasi di media media sosial dan hangat diperkata. Kebimbangan masyarakat sekiranya perkara tersebut akan membentuk akta yang membenarkan si perogol berkahwin dengan si mangsa.

Kenyataan Rohani di Parlimen amat membimbangkan dan merunsingkan segenap pelosok lapisan masyarakat, terutamanya kaum wanita.

Ia melambangkan ideologi negatif dan menjatuhkan nilai moral kaum wanita. Adakah patut berkahwin dengan seorang penjenayah?

Kes di Sabah itu seharusnya menjadi pengukur keikhlasan kerajaan membanteras dan mencegah kes rogol di negara ini.

Sekiranya seseorang menteri memandang berat akan perkara ini, beliau sepatutnya, memberikan lebih banyak sokongan moral kepada mangsa dan bukannya mengatakan sebaliknya.

Kenyataan Rohani seakan menggalakkan kes rogol di negara ini. Kementerian yang diterajui beliau seharusnya memberikan lebih banyak bimbingan moral dan kaunseling kepada si mangsa.

Tambahnya lagi, remaja berkenaan berhadapan dengan trauma dan ruang masa depannya tertutup melalui perkahwinan tersebut. Seharusnya si mangsa diberikan ruang untuk membina azam dan hidup baru serta melakukan pemulihan fizikal dan mental.

Sebolehnya, khidmat nasihat perubatan harus diberikan secukupnya.

Oleh itu, kes ini seharusnya dijadikan teladan dan bukan garis pengukur yang mencenderungkan lagi kes rogol.

Kita di pihak PBDSB tidak mahu kes ini sama seperti kes NCR yang menjadikan kekalahan pemilik tanah sebagai garis panduan dalam perbicaraan berikutnya.

Dengan itu, sekiranya pelaksanaan undang-undang baharu membenarkan si perogol berkahwin dengan mangsa, janganlah melibatkan masyarakat Dayak.

Kami orang Dayak berasakan ini undang undang yang jijik dan menjengkelkan. Oleh itu, kami mempunyai Bahagian Lima dalam Tusun Tunggu Adat Iban 1993 untuk mencegah perbuatan zina.

* Rapelson Richard Hamit merupakan Protem Ketua Pemuda Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB)