Melahirkan graduan kebolehpasaran untuk SCORE, ekonomi digital, industri S’wak

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Konvokesyen ke-25 Politeknik Kuching, menggesa institusi teknikal Politeknik terus melahirkan graduan yang memiliki kebolehpasaran bagi memenuhi kehendak industri semasa di negeri ini.

Awang Tengah berkata Sarawak mengorak langkah ke arah penduduk berpendapatan tinggi menjelang 2030 dengan pembangunan Koridor Tenaga Diperbaruhi Sarawak (SCORE) menjadi tonggak ke arah itu.

Sektor pembuatan SCORE menurut beliau berjaya menarik 22 projek pelaburan bernilai RM33.64 bilion dalam industri.

Ini tidak termasuk cadangan mendirikan kilang keluli bernilai RM12.87 bilion dan kilang metanol bernilai RM8.58 bilion.

Sementara, dalam industri elektrikal dan elektronik pembuatan solar, Samalaju berjaya menarik pelaburan melebihi RM9 bilion sekali gus mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan.

Menurut beliau 99 peratus tenaga kerja dalam industri yang diwujudkan diisi warga tempatan yang meningkatkan nilai yang cepat RM2 bilion setiap tahun.

Awang Tengah turut menjelaskan, dalam sektor pembinaan, projek mega Lebuh raya Pan Borneo ke arah “six economic score hinterland projects’ berteraskan pertanian, pelancongan, perhutanan, kelapa sawit, getah dan industri halal yang memerlukan ramai tenaga kerja mahir dan separuh mahir.

Sementara, menyokong cita-cita ekonomi digital Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Kerajaan Negeri menggalakkan pelajar Bumiputera khususnya mengambil berat subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pelajaran STEM penting untuk memperkasa transformasi besar melalui pembangunan ekonomi digital.

Komponen e-dagang dalam ekonomi digital mampu menyediakan peluang kerja kepada graduan untuk menjadi usahawan dan memasarkan produk serta perkhidmatan mereka ke pasaran yang lebih luas secara online.

Selain itu, kerajaan turut memberi penekanan ke atas industri pemprosesan minyak dan gas upstream dan downstream.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan berkata, pembangunan memerlukan sebilangan besar tenaga kerja profesional, separuh profesional dan mahir yang boleh ditangani oleh pasaran buruh demi mendorong pertumbuhan ekonomi dan industri.

Sejajar program perindustrian dan ekonomi digital ini, golongan belia sewajarnya mesti dilengkapi kemahiran diperlukan dalam  memenuhi keperluan industri di negeri ini.

Menurut Awang Tengah, pasaran tenaga sekarang amat mencabar.

Bagi mengekalkan kedudukan pekerja dalam sesuatu pekerjaan atau mereka bukan sahaja  perlu menguasai ilmu teknikal, bahkan ilmu bersepadu seperti kualiti kepimpinan, semangat bekerja dan kemahiran berkomunikasi. – Sarawakvoice