Laluan penerbangan langsung Kuching-Shenzen dibuka sebelum akhir tahun — Abdul Karim

KUCHING: Sarawak akan menerima penerbangan langsung dari Shenzen, China sebelum akhir tahun ini, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, laluan penerbangan langsung itu dirintis oleh syarikat penerbangan tempatan, dan rundingan sedang rancak berjalan.

“Ia merupakan berita baik kepada kita selepas berjaya mengadakan penerbangan langsung dari Langkawi dan Pontianak sebelum ini,” katanya ketika terlibat dalam Forum Perkongsian dan Perniagaan Malaysia-Thailand di salah sebuah hotel antarabangsa sebentar tadi.

Hadir sama sebagai panel ialah Duta Kerajaan Thailand ke Malaysia, Damrong Kraikruan.

Menurut Abdul Karim, selain rundingan tersebut, pihaknya juga sedang berbincang dengan syarikat penerbangan Thai Airways, yang kebetulan berada di Sarawak untuk mewujudkan laluan langsung dari negara gajah putih itu ke bandar raya ini.

“Hanya dengan adanya laluan langsung sahajalah maka jumlah kehadiran pengunjung atau pelancong ke negara ini akan dapat ditingkatkan.

“Masalah konektiviti sentiasa menjadi isu besar dalam sektor pelancongan, kerana penerbangan sambungan bukan hanya mahal, malah memakan masa dan memenatkan.

Katanya rundingan untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat penerbangan lain termasuk dari Korea Selatan dan Hong Kong, seperti yang dimaklumkan Menteri Pelancongan terdahulu; Datuk Amar Abang Johari Tun Openg juga masih berlangsung.

“Kita kini berusaha secara agresif, bukan sahaja dari sektor tersebut, malah untuk merintis laluan dari Jakarta, Bali dan Australia …  untuk menukarkan Kuching sebagai hab pelancongan rantau ini,” tambahnya lagi.

Katanya, dengan adanya jaringan konektiviti ini, Sarawak akan lebih menyelesaikan isu terbesarnya, dan dijangka menerima jumlah pengunjung yang ramai bermula tahun depan.

Sebelum ini, negeri ini terpaksa bergantung kepada penerbangan sewa khas untuk membawa jumlah pelancong yang besar dari beberapa wilayah di China berkunjung ke bandar raya Miri. – Sarawakvoice