Walaupun tarikh PRU 14 masih lagi belum diumumkan, tanda-tanda yang menunjukkan negara sedang bergerak ke arah itu semakin jelas kelihatan.

Antara parti-parti politik boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja isu yang dibangkitkan untuk menyerang pimpinan parti lawan. Semua parti saling mendakwa yang mereka adalah parti terbaik mewakili agenda rakyat, memperjuangkan hak rakyat dan mengangkat maruah rakyat.

Selaku penyandang, pemimpin BN mula menunjukkan mereka serius dalam menjalankan tanggungjawab. Perasmian projek-projek mega seperti pembinaan landasan keretapi ke Pantai Timur (ECRL), berita kejayaan kemasukan pelaburan ke Tun Razak Exchange (TRX) dan  kejayaan pembinaan MRT dijulang menerusi pelbagai saluran media untuk santapan rakyat.

Pada peringkat negeri, ada ketua-ketua parti tanpa ragu-ragu mengumumkan kepada pihak media bahawa yang mereka telah bersedia dengan muka baharu dan muka lama.

Ada wakil rakyat yang menang pada musim lepas dan yang merasakan khidmat mereka lagi diperlukan mula kembali ligat ‘turun padang’ untuk menemui pengundi. Tidak kurang juga ada yang sanggup menjenguk keadaan tandas di kawasan kampung dan memuat naik di laman media sosial barangkali untuk menunjukkan keperihatinan mereka kepada keadaan pengundi.

Bakal-bakal calon yang terdiri daripada muka-muka baharu (walaupun sesetengahnya pernah tewas dalam PRU 13) kelihatan amat sibuk menganjurkan program bersama masyarakat. Sebahagian besar antara mereka boleh ditemui dengan mudah di majlis-majlis yang melibatkan ketua parti pada peringkat negeri.

Ada kawan pernah berjenaka, untuk kenal muka-muka baharu yang sedang melobi hendak jadi calon lihat kepada mereka yang sanggup cium tangan pemimpin parti dengan membongkokkan badan sehingga 45 darjah. Itulah bakal calon PRU akan datang!

Pada hujung minggu lalu, saya sempat berkunjung ke kawasan parlimen yang berada agak jauh  di pendalaman. Saya dimaklumkan oleh seorang pemuda di kawasan tersebut bahawa  bakal calon di kerusi parlimen itu telah mula aktif berkempen dengan semakin kerap membuat kunjungan ke kampung-kampung orang asli dan memberi sumbangan berupa barangan keperluan harian.

Rakyat mengikuti perkembangan ini dengan sikap bercampur baur. Ada yang mengambil sikap tidak kisah, menjadi orang ‘atas pagar’  dan ada yang secara terus terang menjadi penyokong setia parti tertentu.

Media massa di negara ini amat jarang yang bersikap berkecuali. Media pro pembangkang semakin kerap mendedahkan ‘hasil kajian’ yang dilakukan oleh sebuah NGO yang diberi nama INVOKE. Beberapa bulan lalu, Tun Mahathir menyifatkan kumpulan itu menjalankan kajian untuk ‘syok sendiri’.

Sementara itu bagi media arus perdana pula, rata-rata mengambil sikap pro kerajaan. Namun begitu, artikel dan analisis yang seimbang mengenai isu-isu politik semakin banyak disiarkan.

Namun begitu, media elektronik seperti TV tidak banyak berubah. Paparan berita dan analisis masih terlalu pro kerajaan dan pandangan yang agak seimbang boleh dikatakan langsung tidak ada.

Jangan kita bermimpi untuk melihat berlaku perdebatan berlaku di media antara pemimpin BN dan PH kerana proses demokrasi di Malaysia belum sampai ke tahap itu.

Kekurangan informasi yang seimbang menyebabkan sebahagian besar masyarakat tidak begitu berminat untuk mengikuti perkembangan politik secara lebih dekat.

Jurang informasi secara berterusan menjadi salah satu ciri utama dalam sistem pilihan raya di Malaysia. – Sarawakvoice