Israel usir 15,000 Palestin dari Baitulmaqdis, HRW anggap jenayah perang

BAITULMAQDIS: Pertubuhan Hak Asasi Manusia Antarabangsa (HRW) menyifatkan rejim zionis Israel melakukan jenayah perang secara sistematis apabila bertindak mengusir 15,000 warga Palestin dari Baitulmaqdis sejak 1967.

Pengarah HRW untuk Asia Barat, Sarah Leah Whitson berkata, Israel menggugurkan hak pemastautin penduduk Palestin, tetapi pada masa yang sama mendakwa menjadikan Baitulmaqdis sebagai bandar penyatuan.

Namun, seumpama dasar Apatheid di Afrika suatu ketika dahulu, rejim Israel melaksanakan dua undang-undang berbeza terhadap warga Yahudi dan Palestin.

Foto TheVeterans

Dalam Perang Enam Hari 1967, Israel menawan Baitulmaqdis Timur dalam tindakan sepihak yang yang tidak diiktiraf, bahkan dikutuk oleh masyarakat antarabangsa.

Lebih 300,000 warga Palestin di Baitulmaqdis mendapat status penduduk tetap, tetapi bukan bertaraf warganegara Israel.

Kebanyakan warga Baitulmuqaddis Timur tidak memohon taraf kerakyatan kerana tidak mahu mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara berdaulat.

HRW dalam laporannya menyebut, sejak 1967, rejim Zionis itu membatalkan status pemastautin terhadap 14,595 penduduk Palestin.

Pembatalan itu sekali gus melarang mereka menetap di Baitulmuqaddis Timur.

Whitson menegaskan, pengusiran atau perpindahan secara paksaan terhadap mana-mana penduduk Palestin di Baitulmuqaddis Timur yang dijajah oleh Israel merupakan jenayah perang. – Sarawakvoice