PETALING JAYA: Dayang Nurfaizah Awang Dowty dipilih melontarkan suaranya untuk lagu tema Sukan SEA (KL2017) bertajuk “Bangkit Bersama” gubahan komposer Datuk Ramli MS.

Penyanyi Balada terkenal negara kelahiran Kuching Sarawak itu mengakui dapat merasai semangat bersatu hati ketika membawa lagu berkenaan sesuai dengan lirik lagu dicipta anak Malaysia Sendiri.

Selain “Bangkit Bersama” sebuah lagi lagu tema temasya ini ialah lagu “Tunjuk Belang” nyanyian loQue, Azlan (The Typewriter) dan maliQue.

Sementara, lagu tema “So Many Hands” oleh Mia Palencia digunakan untuk iklan rasmi KL2017.

Memetik laporan mStar Online pada Rabu, Dayang menyifatkan peluang sekali seumur hidup itu mampu mencatat sejarah peribadi buat dirinya, satu atau dua dekad akan datang.

“Dayang ambil peluang ini 100 peratus, tidak buat sambil lewa kerana semua orang tahu sukan dapat menyatukan masyarakat,” ujar Dayang memetik laporan berkenaan.

Dayang mengaku teruja dapat membawa rakyat Malaysia bangkit bersama menyokong atlet negara, seterusnya berdoa atlet negara memungut banyak pingat emas.

Dayang minat menonton acara gimrama dan mahu ke stadium jika berkesempatan sepanjang KL2017 berlangsung 19-30 Ogos ini.

KL2016 menyaksikan lebih 6,000 atlet bertanding di 44 lokasi di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Terengganu dan Langkawi. – Sarawakvoice