Bahasa Tatau, Lugat, Narum, Sihan, Lahanan terancam pupus diasak arus popular

KUCHING: Sarawak kaya warisan sejarah dan budaya menempatkan lebih 40 kumpulan etnik dan subetnik yang hidup aman damai.

Mereka bercakap dalam pelbagai bahasa etnik dan mengamalkan budaya unik dan cara hidup tersendiri.

Namun dari segi bahasa, di Malaysia bahasa asli mati secara perlahan-lahan akibat pengaruh budaya dan bahasa dominan seperti bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris

Sementara dari segi pengaruh bahasa dan budaya luar, budaya popular seperti “The Wave Korea” mengeksport k-pop dalam industri kreatif, memberi kesan kepada kebanyakan orang khususnya generasi baru.

Kredit Foto Unimas

Bercakap pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Pengajian Bahasa (ICLS) 2017 pada Rabu, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menyifatkan persidangan tersebut sangat bertepatan dilihat dari pelbagai aspek dan ketika isu bahasa dan budaya asli ini terancam pupus.

Bagi beliau persidangan ini signifikan sesuai dengan kepelbagaian suasana di Sarawak demi memelihara dan memulihara budaya, bahasa dan tradisi yang ada di negeri ini.

Sementara beliau menyifatkan persidangan tersebut sebagai penghormatan kepada Sarawak dalam mengkaji kesan globalisasi terhadap bahasa dan budaya orang pribumi.

Abang Johari menyebut beberapa contoh bahasa seperti Tatau, Lugat, Narum, Sihan, Lahanan, Baketan, dan Seru kini terancam kepupusan jika sebarang langkah dan tindakan memeliharanya diabaikan.

Beliau melihat, kepupusan bahasa dan budaya etnik ini berlaku ketika dunia mengalami globalisasi pesat dan digitalisasi secara politik, ekonomi, budaya dan sosial.

Kemajuan teknologi menurut beliau telah menjadi punca proses asimilasi ini berlaku dan kesannya dirasai dalam setiap aspek kehidupan, khususnya bahasa dan budaya.

Abang Johari menyimpan kepercayaan penuh bahawa Unimas dan Fakulti Bahasa dan Komunikasi yang baru ditubuhkan dapat memimpin inisiatif kritikal ini memelihara dan memulihara serta mempertahankan keunikan warisan bahasa dan budaya asli ini.

Beliau turut menyeru agar penyelidik, pengamal, serta pemimpin masyarakat pribumi bergabung dengan institusi pengajian tinggi serta pihak berkepentingan memelihara, memulihara dan menghidupkan bahasa dan budaya asli ini untuk generasi akan datang. – Sarawakvoice