Rohani Karim berfikiran cetek, tiada hak tentukan kehidupan mangsa rogol — Zuraida

KUALA LUMPUR:  Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat, Zuraida Kamaruddin hari ini mengamuk sambil menyifatkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim sebagai seorang yang berfikiran cetek.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, Rohani tidak mempunyai hak untuk menentukan bahawa mangsa rogol kini sedang menjalani kehidupan dengan baik.

“Keadaan mangsa masih lagi anak kecil, walaupun selepas empat tahun kejadian, dan perogol sedang menjalani hukuman di penjara.

“Bukan sahaja anak ini berkahwin dengan si perogol, tetapi anak ini dinafikan hak   menerima pendidikan formal.

Katanya, walaupun memilih untuk tidak ke sekolah atas pilihan magsa sendiri, ia berlaku kerana keadaan sistem yang tidak melindungi hak dan kebajikan mangsa rogol di bawah umur.

“Mangsa rogol tidak seharusnya dikahwinkan dengan perogol kerana masa depannya akan terletak sepenuhnya pada bagaiman si perogol yang kini menjadi suami melayan mangsa selepas menjalani hukuman penjara.

“Adakah dia akan memberikan nafkah secukupnya?Apakah mangsa akan terus dirogol? Adakah perogol akan menceraikannya dan apakah jaminan mangsa itu tidak akan ditinggalkan tanpa sebarang simpanan dan pekerjaan?

Tegas Zuraida, bagaimana seseorang kanak-kanak bersedia untuk menjadi seorang isteri terutamanya kepada seorang perogol?

“Adakah anak ini bersedia secara emosi dan mental untuk menangani keadaan ini?

Katanya, menteri tidak sepatutnya memberi persepsi seolah-olah ia satu penyelesaian yang paling baik untuk menggalakkan perkahwinan mangsa dan perogol.

“Anak ini telah kehilangan peluang dalam pendidikan dan  kebebasannya untuk hidup mengikut citra impiannya.

“Jika semua gadis di negara kita diperlaku dengan cara begini, maka tidak lama lagi, semua lelaki akan mempunyai keberanian untuk memperkosa gadis-gadis muda ini dan akhirnya berkahwin dengan mereka, sebelum menafikan hak-hak anak perempuan ini.

Tempelaknya, tidak masuk dek akal untuk berfikir bahawa dengan mengahwini si perogol akan menyelamatkan mangsa dan keluarga daripada menanggung rasa malu.

“Dan tidak boleh dengan perkahwinan akan menyelamatkan perogol daripada dihukum.

“Pokok pangkalnya, perkahwinan kanak-kanak perlu dihapuskan,” tegasnya lagi. – Sarawakvoice