Rabies: Kes terbaharu dicatat di Kampung Kuala Gedong babitkan kanak-kanak tujuh tahun

KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dari Kampung Kuala, Gedong hari ini disahkan sebagai mangsa terbaharu jangkitan Rabies di negeri ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan semalam mengesahkan laporan tersebut, dengan kanak-kanak lelaki ini mempunyai sejarah digigit anjing pada 17 Jun lalu.

Kenyataan jam 10 pagi itu menyebut, mangsa telah menerima tiga dos suntikan vaksin anti-rabies di Hospital Serian pada 21 Julai, 24 Julai dan 28 Julai, manakala
dos keempat dijadualkan pada 4 Ogos lalu.

“Bagaimanapun pada 1 Ogos, mangsa mula menunjukkan simptom Rabies dengan mengalami demam, batuk dan muntah.

Mangsa kemudian dimasukkan ke wad Hospital Serian dan keadaannya menjadi semakin merosot, dengan mengalami perubahan sikap dan halusinasi.

“Kes dirujuk ke Hospital Umum Sarawak pada 3 Ogos dan mangsa kini sedang menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi Paediatrik.

Mangsa malah terpaksa diberi alatan sokongan pernafasan dan sedang berada dalam keadaan kritikal.

“Ujian sampel yang dihantar pada 8 Ogos dan keputusan pada hari yang sama menunjukkan positif terhadap virus Rabies.

“Dengan pengesahan ini, jumlah kes Rabies yang melibatkan manusia di Sarawak sehingga hari ini adalah sebanyak enam kes, yang disahkan melalui ujian makmal,” kata kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, terdapat dua kes dari Kampung Sungai Paon Rimu Bakong, Serian, manakala Kampung Lebor, Kampung Seroban dan Kampung Remun, juga di Serian pula mencatatkan satu kes.

Kesemua kes tersebut berakhir dengan kematian. – Sarawakvoice