Polis Sarawak tidak kompromi pegawai terlibat jenayah, salah laku — Amer Awal

KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Amer Awal sebentar tadi memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggotanya yang terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah dan salah laku di negeri ini.

“Perbuatan yang menjejaskan imej jabatan adalah sesuatu yang tidak dapat diterima, justeru tindakan akan diambil tanpa “pilih bulu’,” tegasnya merujuk kepada penangkapan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan lima anggota berpangkat rendah daripada Ibu Pejabat Polis Kontijen dan balai-balai polis di Kuching dan Lundu di sini pagi tadi.

Mahkamah Majistret Kuching pagi tadi telah meluluskan perintah tahanan reman keenam-enam mereka selama tiga hari sehingga 12 Ogos depan bagi membantu siasatan.

“Tangkapan dilakukan setelah kita menerima laporan polis berhubung kes tersebut pada 3 dan 8 Ogos lalu di Balai Polis Batu Kawa dan Sematan.

“Justeru itu, kita telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah untuk melaksanakan intipan, siasatan dan tangkapan kes ini,” katanya.

Kesemua suspek tegasnya, akan disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan terhadap peniaga di sekitar bandar raya ini.

“Ketika ini kita belum dapat mendedahkan butiran lanjut kerana siasatan baharu bermula.

“Kita akan menyelesaikan siasatan ini sendiri dan menyerahkan keputusan siasatan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya terlebih dahulu, sebelum mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota yang terlibat.

Keenam-enam suspek ditangkap dalam satu operasi khas yang dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah Khas D9 IPK Sarawak bermula lewat malam hingga jam 4 pagi tadi.

Turut hadir Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar. – Sarawakvoice