Polis Sarawak cekup 6 pegawai dan anggotanya lakukan peras ugut dalam operasi khas

KUCHING: Polis Sarawak hari ini menahan enam anggota mereka sendiri di kediaman dan tempat kerja mereka di Kuching, Lundu dan Sematan bagi membantu siasatan kes peras ugut, yang dilaporkan orang awam.

Tangkapan dilakukan lewat malam tadi dan awal pagi ini oleh sepasukan pegawai dan anggota Siasatan Jenayah Khas D9 IPK Sarawak yang diketuai Deputi Superintendan Sarifudin Mustaffa.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar ketika mengesahkan tangkapan berkata, ia dilakukan selepas dua individu membuat laporan polis di Balai Polis Batu Kawa dan Balai Polis Sematan berhubung tindakan “kotor”  kumpulan polis ini.

“Salah seorang suspek yang ditangkap merupakan pegawai berpangkat Inspektor berusia 53 tahun dan bertugas di Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Kontijen Negeri.

“Lima yang lain merupakan anggota pangkat rendah yang berusia sekitar 25 hingga 32 tahun, daripada pelbagai unit, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching,” katanya lagi.

Kes disiasat sebagai peras ugut di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Suspek akan menjalani perintah tahanan reman pagi ini. – Sarawakvoice