KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini menegaskan tindakan mengahwini mana-mana individu mangsa rogol tidak akan melindungi pesalah daripada dihukum atas kesalahan rogol yang dilakukan.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian tersebut berpandangan hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah bagi kes berkenaan jelas menunjukkan sistem perundangan sedia ada adalah mantap dalam melindungi mangsa jenayah, khususnya bagi kes ini yang melibatkan kanak-kanak.

“Sebagai sebuah Kementerian yang bertanggungjawab ke atas perlindungan dan kebajikan kanak-kanak, KPWKM mengambil pendirian bahawa perkahwinan kanak-kanak adalah tidak digalakkan.

“Kanak-kanak perlu diberi peluang untuk mengembangkan potensi mereka sepenuhnya dan  dalam hal ini, perkahwinan bawah umur boleh memberikan cabaran dan tekanan dari segi fizikal dan mental.

“Cabaran ini merangkumi pelbagai aspek seperti kesihatan, pendidikan, dan kewangan terhadap seorang kanak-kanak,” katanya merujuk laporan status kanak-kanak mangsa rogol yang berkahwin dengan pesalah yang kini sedang menjalani hukuman di penjara.

Pun begitu jelas kenyataan itu lagi, KPWKM akur akan keputusan mangsa dan keluarga dalam meneruskan perkahwinan bagi pasangan berkenaan menurut lunas undang-undang sedia ada.

“Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri memperuntukkan bahawa perkahwinan bawah umur 16 tahun dibenarkan, dengan mendapat kelulusan dari Mahkamah Syariah.

“Dalam hal ini, tegasnya KPWKM sentiasa bersedia dan komited untuk memberikan jaringan sokongan sosial yang diperlukan seperti kaunseling dan pemantauan berkala demi kebajikan kanak-kanak dan keluarganya

Katanya, seperti yang dinyatakan secara bertulis oleh Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim di Parlimen dalam sesi Dewan Rakyat pada 1 Ogos lalu, lawatan terkini ke rumah keluarga kanak-kanak mendapati kanak-kanak yang disebut berada dalam keadaan sihat serta masih tinggal bersama-sama ibu bapanya. (gambar fail)

“Kanak-kanak tersebut memaklumkan bahawa beliau selesa tinggal bersama-sama ibu bapanya dan membantu ibunya menjaga anak-anak kakak dan abangnya yang tinggal bersama.

Jabatan Kebajikan Masyarakat jaminnya, akan terus memantau keadaan kanak-kanak ini yang tinggal bersama-sama keluarganya sendiri dan akan memberikan sebarang sokongan yang diperlukan demi memastikan kanak-kanak ini dapat meneruskan hidup dengan baik. – Sarawakvoice