Ikuti penjelasan wujudnya aerobridge berhantu yang ditonton netizen lebih 11 juta kali!

BANGKOK: Semalam, Sarawak Voice menyiarkan berita berkaitan rakaman video 31 saat dimuat naik Richard Ker di akaun Facebooknya menunjukkan “hantu” yang melalui aerobridge tidak bersambung dengan sebarang pesawat.

Dengan pintunya yang terbuka dan tiada pesawat bersambung dengannya, tetapi ramai yang bertanya: “dari mana datangnya ramai orang yang sedang berjalan melaluinya untuk ke terminal ketibaan!”

Video yang sudah ditonton lebih 11 juta kali dan dikongsi lebih 8,000 kali warganet itu dianggap oleh sebahagian netizen sebagai “pelajar dari Hogwarts kembali untuk cuti sekolah”.

Malah, ada yang menganggapnya sebagai suntingan Photoshop.

Video misteri yang membingungkan ramai orang di seluruh dunia, dirujuk oleh media Thailand sebagai: “Penerbangan PG873 di Aerobridge D206. Aerobridge ini berhantu. Orang ramai terus berjalan keluar, sedangkan ia tidak disambungkan kepada pesawat.

Keterangan tersebut menyebut: “PG873 ialah laluan Bangkok Airways dari Bangkok ke Koh Samui dan Koh Samui ke Hong Kong.

Ramai terfikir, adalah menghiburkan melihat aktiviti paranormal berjaya ditangkap kamera.

Namun seorang juruterbang bernama Voravit Vejjajiva, mendakwa orang yang memfilemkan video itu sebenarnya mengambil gambar yang direfleksi dari aerobridge lain yang selari dan bayangannya terpantul pada cermin aerobridge didakwa berhantu itu.

Voravit memberitahu Thairath bahawa, “selepas saya mendaratkan pesawat, saya melihat pesawat aerobridge sejajar dengan pesawat saya.

“Lampu aerobridge itu dimatikan supaya kaca mencerminkan bayang-bayang aerobridge pesawat saya, yang mempunyai lampu dengan orang yang berjalan melaluinya,” ujar Voravit.

Voravit turut memuatkan satu lagi foto yang menunjukkan pantulan yang berlaku pada tengah hari ke atas aerobridge berkenaan. – Sarawakvoice