Dua lelaki Iban, seorang wanita Cina dijaring kerana dadah di Tabuan Foochow

KUCHING: Polis Kuching pagi semalam menjaring tiga individu termasuk seorang wanita di Kampung Tabuan Foochow dekat sini, selepas disyaki terlibat dalam aktiviti dadah.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching sekitar jam 11.50 pagi di sebuah rumah tidak bernombor.

“Wanita tunggal tersebut berusia 25 tahun, berketurunan Cina dari Kota Samarahan manakala dua lelaki yang dicekup bersama-samanya berusia 25 dan 42 tahun dari Jalan Setia Raja dan Tabuan Foochow.

Abang Ahmad berkata, hasil pemeriksaan di bilik rumah tersebut telah menjumpai satu beg berwarna biru, yang di dalamnya mengandungi paket plastik lut sinar.

“Di dalam paket tersebut pula terdapat ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat satu gram, yang dianggarkan bernilai RM180.

“Hasil saringan awal polis turut mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Methaphetamine.

Kesemua suspek katanya, kini ditahan lanjut untuk proses siasatan, yang dijalankan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Sarawakvoice