Dituduh sombong, 2 pelajar vokasional dipukul 20 senior

KUALA TERENGGANU: Gara-gara tidak mengikut arahan pelajar senior dan dianggap sombong, 2 pelajar lelaki sebuah kolej vokasional dipukul 20 pelajar tanpa belas kasihan.

Kejadian yang berlaku kira-kira 1.30 pagi semalam (Selasa) itu menyebabkan 2 pelajar berusia 16 tahun itu cedera pada bahagian belakang badan dan kaki.

“Pada mulanya mereka hanya membelasah kawan sebilik, mereka menutup muka rakan itu dengan selimut dan membelasah beramai-ramai. Mereka kemudiannya keluar tetapi kembali semula dan mengajak rakan saya bergaduh tetapi dia menolak untuk berbuat demikian.

“Dalam bilik saya ada 10 penghuni tetapi hanya ada 3 pelajar tahun 1…seorang lagi tidak dipukul, hanya saya dan kawan itu sahaja,” kata rakan mangsa yang turut menjadi mangsa pukul ketika ditemui pemberita di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) malam tadi.

Beliau mendakwa rakannya mengalami kecederaan pada bahagian belakang hingga lebam kehitaman dan membuat laporan polis.

Pelajar itu turut membuat laporan polis kira-kira 3.30 petang semalam.

Sementara itu ibu pelajar terbabit ketika ditemui pemberita memberitahu beliau bertindak demikian bagi memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan perbuatan sama dan tindakan tegas perlu diambil memandangkan ia mendatangkan kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian.