43 atlet S’wak wakili M’sia di Sukan SEA, apa ganjaran peraih pingat emas kali ini?

KUCHING: Daripada 876 atlet dari seluruh negara menyertai Sukan Asia Tenggara (SEA) di Kuala Lumpur, 43 daripadanya dikenal pasti merupakan anak Sarawak yang bertanding dalam beberapa acara.

Sukan SEA berlangsung 19-30 Ogos ini menawarkan keseluruhan 404 pingat emas untuk 404 acara bagi 38 jenis sukan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, 43 atlet anak Sarawak terbabit bertanding dalam acara bola keranjang, bola sepak, bola tampar, gimnastik, berbasikal, golf, hoki, judo, kriket, menembak, olahraga, lontar tukul besi, renang, squash, takwondo, tenis, terjun, wushu dan ragbi.

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar fail)

Menurut beliau lagi, kemungkinan bilangan atlet anak Sarawak akan bertambah kerana banyak acara sukan terbabit masih belum diputuskan atletnya, yang mungkin diumumkan pada saat akhir.

Abdul Karim percaya, berdasarkan rekod pencapaian atlet sebelum ini, akan ada atlet anak Sarawak yang menyumbang pingat emas dalam beberapa acara mengharumkan nama negeri dan negara.

Bercakap pada sidang media berkaitan atlet   anak Sarawak ke Sukan SEA di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya pada Selasa, Abdul Karim turut menyuarakan kemungkinan pihaknya memohon kerajaan negeri memberi ganjaran kewangan dan pingat kepada atlet anak Sarawak yang berjaya merangkul pingat emas.

“Dari pengalaman lepas, sesiapa yang mengharumkan nama Sarawak, kita akan pertimbangkan untuk diberi ganjaran sama ada kewangan ataupun pingat (kebesaran),” ujar Abdul Karim.

Beliau turut meminta agar warga Sarawak menyaksi atlet negeri ini yang beraksi mewakili negara pada temasya sukan berkenaan sebagai tanda sokongan melalui siaran langsung di media. – Sarawakvoice