KINABATANGAN: Pemimpin dan anggota UMNO diingatkan supaya tidak mengadu domba sesama sendiri sehingga berlaku perpecahan kerana ia hanya merugikan parti dan boleh menyebabkan mereka kalah dalam pilihan raya umum (PRU) nanti.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata tindakan seperti itu, baik di peringkat mana sekalipun, perlu dihentikan sebaliknya memberi tumpuan bagi menghadapi pilihan raya.

“Kita utamakan perpaduan dalam parti keramat ini dan menunjukkan kesetiaan kepada parti serta pemimpin. Jangan biarkan emosi mengawal perjuangan kita.

“Tumpuan harus kita berikan kepada persiapan menghadapi PRU yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja,” katanya ketika merasmikan serentak persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Kinabatangan di sini, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan mahu Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri di bahagian itu melipatgandakan usaha memberi keyakinan kepada rakyat agar terus menyokong Barisan Nasional (BN).

Katanya ia penting dalam usaha BN mengekalkan kerusi yang dimenangi di kawasan Parlimen Kinabatangan dan dua kawasan Dewan Undangan Negeri Sukau dan Kuamut.

Menurutnya usaha perlu dilakukan bagi meyakinkan rakyat di peringkat akar umbi bahawa pemimpin UMNO dan BN bekerja keras sama ada sebelum, selepas dan pada pilihan raya untuk membantu rakyat tanpa mengira, kaum, agama dan fahaman politik.

Bung Moktar berkata usaha memenangi hati rakyat itu perlu diteruskan kerana masih ada segelintir rakyat masih memilih parti pembangkang yang hanya hadir apabila pilihan raya sudah dekat.

Justeru, katanya, Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO perlu memainkan peranan untuk meyakinkan rakyat terutamanya pengundi atas pagar agar menyokong BN demi kesinambungan pembangunan di kawasan ini. Bernama