Sukarelawan diperlukan bantu warga emas, OKU guna MRT

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhasrat untuk mewujudkan khidmat sukarelawan bagi membantu golongan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT).

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata khidmat seumpama itu dapat memastikan perkhidmatan MRT adalah mesra warga emas dan OKU serta membantu melancarkan perkhidmatan pengangkutan awam terbaru itu yang memulakan operasinya bulan lepas.

“Saya mencadangkan agar diwujudkan pasukan sukarelawan. Mereka (pasukan sukarelawan) boleh memakai ves untuk membantu golongan sasaran yang tidak tahu ke mana untuk dituju (ketika menggunakan perkhidmatan MRT).

“Perkhidmatan ini masih baharu bagi kita, jika golongan tersebut dibantu ia akan memudahkan lagi perjalanan mereka,? katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa menaiki MRT bersama warga emas dan OKU dari stesen Tun Razak Exchange ke Muzium Negara di sini semalam.

Seramai 20 individu terdiri daripada lapan warga emas dan 12 OKU turut merasai pengalaman menaiki MRT bersama Rohani.

Rohani dalam masa sama berpuas hati terhadap kelancaran perkhidmatan MRT dan berharap beberapa kemudahan khususnya untuk golongan OKU di setiap stesen itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Katanya, penambahbaikan itu membolehkan golongan istimewa itu dapat bersama-sama menikmati kemudahan MRT yang disifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai projek infrarakyat bertaraf dunia.

Beliau juga meminta kerjasama orang ramai agar tidak melakukan perbuatan vandalisme di setiap stesen MRT kerana perbuatan itu tidak mendatangkan faedah kepada mana-mana pihak malah merugikan pihak pengurusan.

Sementara itu, personaliti televisyen Ras Adiba Mohd Radzi yang turut bersama kumpulan OKU bersama-sama Rohani menaiki MRT hari ini, turut berharap supaya kemudahan di stesen MRT bawah tanah dapat ditambah baik, terutamanya laluan pejalan kaki dan papan tanda bagi memudahkan golongan OKU sepertinya.

“Alhamdulillah MRT ini memudahkan akses kami untuk ke mana-mana, cuma lagi bagus sekiranya ada papan tanda yang menunjukkan arah yang jelas,” katanya.

Operasi fasa kedua MRT laluan Semantan-Kajang yang dilancarkan pada 17 Julai lepas melengkapkan jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) sepanjang 51km merentasi 31 stesen, termasuk tujuh stesen bawah tanah, Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang berintegrasi dengan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Monorail, KTM Komuter.

Sebanyak 100 bas perantara tambahan disediakan untuk menghubungkan penduduk di kawasan perumahan dan komersial yang berhampiran dengan stesen MRT terpilih. Fasa pertama membabitkan laluan Sungai Buloh-Semantan sepanjang 21km, mula beroperasi pada 16 Dis tahun lalu. Bernama