SEDC belum terima surat untuk berjumpa PAC berhubung projek hotel lewat 758 hari — Pengerusi

KUCHING: Belum ada arahan daripada Jawatankuasa Audit Parlimen (PAC) kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) untuk mengemukakan tunjuk sebab berhubung kelewatan projek serta peningkatan kos pembinaan Riverside Majestic 2 di sini.

Pengerusi SEDC, Tan Sri Abdul Aziz Hussein berkata, perjumpaan mungkin berlangsung November depan namun pihaknya mempunyai alasan tersendiri berhubung kelewatan tersebut.

Projek sambungan Hotel Riverside Majestic di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini dibangunkan oleh anak syarikat SEDC, Sejadu Sdn Bhd.

Ia dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan, iaitu pada Jun 2014 dengan kos keseluruhan RM59.89 juta.

Namun audit yang dilaksanakan sekitar November hingga Disember tahun lalu mendapati terdapat tujuh kali lanjutan tarikh siap dibenarkan, dan projek itu telah mengalami kelewatan selama 758 hari.

Malah laporan itu turut menyebut telah berlaku lonjakan kos sebanyak 13.5 peratus iaitu sebanyak RM8.07 juta dalam projek tersebut.

Mengulas lanjut, Aziz berkata, kelewatan tersebut sebenarnya bukan berpunca daripada SEDC.

“Ia disebabkan kegagalan kontraktor sebelumnya yang berhadapan masalah ketika melaksanakan kerja-kerja asas.

“Dan kami hanya mendapat tahu situasi tersebut selepas mengambil alih hartanah tersebut.

“Itu punca utama sebenar…tetapi ada juga beberapa faktor lain,” jelasnya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman di antara SEDC dan Uda Holdings Berhad di sini semalam.

Persefahaman itu merangkumi perkongsian pengalaman serta kerjasama yang akan dijalinkan untuk memajukan beberapa bidang tanah milik SEDC di negeri ini.

Mengenai kos pembinaan hotel yang meningkat, Aziz menjelaskan, ia berpunca daripada perubahan skop kerja.

“Kos meningkat disebabkan penambahan jambatan serta naik taraf hotel daripada tiga bintang kepada lima bintang.

Bangunan baharu hotel tersebut kata Aziz, akan dirasmikan pembukaannya pada bulan hadapan dan kini berada dalam peringkat akhir.

Selain hotel tersebut, satu lagi projek utama SEDC yang berhadapan masalah ialah Projek Jambatan Emas yang juga terlewat daripada jadual asal.

Projek ikon yang dilaksanakan oleh CMS Holdings itu terlewat berikutan perubahan pada reka bentuknya. – Sarawakvoice