Portal Malaysiabiz dilancarkan di Sarawak

KOTA SAMARAHAN: Portal MalaysiaBiz dilancarkan di sini hari ini bagi membolehkan komuniti perniagaan di Sarawak mendapat informasi pendaftaran dan pelesenan perniagaan dengan cepat dan mudah.

Ia dibangunkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) melalui Inisiatif Program Berimpak Tinggi 1 di bawah Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana 2012 ? 2020 oleh SME Corp. Malaysia.

Portal itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sarawak di sini.

Dalam ucapannya, Entulu berkata keistimewaan utama portal itu ialah ia memaparkan maklumat pelesenan secara horizontal merentasi pelbagai Pihak Berkuasa Melesen meliputi 1,174 aktiviti perniagaan dalam pelbagai bidang ekonomi berdasarkan Piawaian Klasifikasi Industri Malaysia (MSIC) 2008 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan.

Katanya ia boleh diakses oleh komuniti perniagaan di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia sejak Jun 2016 dan MAMPU telah bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak dan pihak berkuasa negeri bagi membolehkannya turut dimanfaatkan oleh komuniti perniagaan di negeri ini.

Menurut Entulu, hasilnya mulai Mei lepas, informasi pendaftaran dan pelesenan perniagaan di Portal MalaysiaBiz bagi 99 pihak berkuasa negeri Sarawak berjaya disediakan.

Beliau berkata Portal MalaysiaBiz akan turut diperluaskan kepada penyediaan perkhidmatan permohonan pendaftaran dan pelesenan perniagaan melalui satu gerbang perkhidmatan menjelang tahun 2020.

“Ini sekali gus mempercepatkan lagi proses untuk memulakan perniagaan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat, terutamanya di Sarawak. Taburan PKS di negeri ini pada tahun lepas merangkumi 6.7 peratus daripada jumlah keseluruhan pertumbuhan PKS di Malaysia,” katanya.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak Malcom Mussen Lamoh, Ketua Pengarah MAMPU Datuk Dr Mazlan Yusoff dan Ketua Eksekutif SME Corp Malaysia Datuk (Dr) Hafsah Hashim.

Pada majlis itu, Entulu turut menyampaikan sijil pelantikan kepada 190 Rakan Informasi Lesen (RIL) daripada 99 pihak berkuasa negeri Sarawak. Bernama