PKR dalam gear penuh hadapi PRU di Sarawak, 90 peratus calon sudah muktamad – Nurul Izzah

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat sudah berada dalam gear penuh bagi menghadapi Pilihan Raya Umum untuk negeri Sarawak, kata Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menjelaskan, hampir 90 peratus calon parti itu telah diputuskan manakala selebihnya masih dalam proses rundingan.

“Kita di peringkat Pusat tidak akan masuk campur dalam urusan Sabah dan Sarawak, bagi memberi fokus kepada negeri-negeri di Semenanjung.

“Juga kerana kita menghormati keputusan dan rundingan yang berlaku di kedua-dua negeri ini bagi mencapai muafakat satu lawan satu,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Nurul Izzah sebelum itu mengadakan aktiviti santai dan borak bersama lebih 50 aktivis pembangkang di sebuah restoran masakan Indonesia di Metrocity, Matang.

Hadir sama, Penasihat PKR Sarawak, Datuk Seri Hafsah Harun dan beberapa calon berpotensi negeri, untuk PRU akan datang.

Turut berada di Sarawak dalam tempoh yang sama, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Katanya, bukanlah sesuatu yang mudah dan PKR perlu berhati-hati dalam mendepani PRU kali ini.

“Kita akan tumpukan kepada pertarungan di peringkat Parlimen biarpun ada beberapa kerusi negeri yang diminati.

“Pada saya menjelang PRU akan datang, pertarungan peringkat Parlimenlah yang paling penting dan kita akan tampilkan calon-calon yang berkaliber.

“Kita mahu orang tempatan yang diterima pengundi. Mereka yang lahir di sini, yang berjaya dan kembali menawarkan bakti kepada negeri.

Berkaitan dasar keterbukaan pentadbiran baharu negeri di bawah Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang membenarkan pemimpin pembangkang masuk ke Sarawak, Nurul Izzah melihatnya sebagai sesuatu yang positif.

“Itu adalah prasyarat mana-mana pemimpin yang yakin tentang kedudukan jawatan mereka, dan amanah yang datang.

“Kepimpinan merupakan integriti. Kita harus menyediakan ruang yang sama rata sama adil kepada semua.

“Ini kerana sebagai rakyat Malaysia yang menyayangi Sarawak, saya bukanlah seorang yang berbahaya (hingga pernah dihalang masuk).

Katanya, beliau yakin pimpinan negeri tidak akan menyalahgunakan kuasa yang ada, kerana pihaknya juga menghormati kuasa yang ada pada Kerajaan Negeri tersebut. – Sarawakvoice