Persatuan Graduan Bumiputera Sibu anjur Klinik Intensif Kecemerlangan SPM

SIBU: Persatuan Graduan Bumiputera Sibu akan menganjurkan Klinik Intensif Kecemerlangan SPM bagi pelajar Bumiputera di sekolah-sekolah di sini pada setiap Ahad selama 10 minggu berturut-turut bermula 13 Ogos   hingga 22 Oktober ini.

Program tersebut akan berlangsung di University College of Technology Sarawak (UCTS).

Program yang menyelitkan aspek motivasi itu diadakan dengan kerjasama University College of Technology Sarawak (UCTS) dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka itu  adalah percuma.

Program yang diadakan  sejak 2014 itu bertujuan untuk  memberi pendedahan kepada pelajar tentang teknik menjawab yang betul.

Menurut kenyataan media penganjur, program ini diadakan bagi membantu para pelajar yang bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) khususnya untuk para pelajar yang kurang berpotensi untuk mendapatkan kredit dalam sekurang-kurangnya lima subjek sekali gus membantu mereka mendapatkan tempat untuk melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi.

Program ini menyasarkan pelajar Tingkatan 5 Bumiputera di seluruh sekolah di bandar Sibu.

Pengkhususan subjek bagi Aliran Sastera ialah Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dan bagi Aliran Sains ialah Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan.

Kesemua tenaga pengajar dipilih merupakan guru cemerlang di  sini dan pemeriksa kertas SPM yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. – Sarawakvoice