Pelantikan Ahli lembaga Petros, DBOS merupakan pakar dan bukan ahli politik

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengumumkan penubuhan rasmi Petros sebagai syarikat minyak dan gas milik penuh Kerajaan Negeri Sarawak.

Bercakap pada majlis Jamuan Malam Apresiasi Pejabat Ketua Menteri di hotel terkemuka di Kuching, Abang Johari menjelaskan semua ahli lembaga pengarah syarikat Petros yang dilantik  merupakan anak jati Sarawak yang berpengalaman luas dalam industri minyak dan gas.

Tanpa mendedahkan nama jentera Petros, Abang Johari berkata, semua ahli lembaga pengarah terbabit bukan dalam kalangan ahli politik.

Abang Johari menyifatkan penubuhan Petros merupakan tindakan membolehkan Kerajaan Negeri terlibat secara aktif dalam pengeluaran minyak dan gas, selain berusaha menuntut royaliti 20 peratus daripada Petronas.

Sementara, pada majlis yang sama, Abang Johari turut mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) tanpa mendedahkan nama beliau.

Seperti Petros, Abang Johari memaklumkan, semua ahli lembaga DBOS merupakan tenaga profesional dan bukan ahli politik.

Dalam majlis yang sama, Johari berkata, Yayasan Sarawak akan meningkatkan biasiswa dan pinjaman kepada pelajar Sarawak yang layak diterima masuk ke universiti tempatan dan luar negara untuk kajian pascasiswazah.

“Saya meminta Yayasan Sarawak untuk memberi biasiswa kepada semua pelajar Sarawak di peringkat pascasiswazah termasuk Doktor Falsafah (PhD).

“Ini adalah usaha kita untuk melahirkan para penyelidik kerana bidang terbabit amat penting kepada nilai tambah sumber-sumber di negeri ini,” tegasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak menjelaskan, sebuah majlis penyelidikan negeri di bawah Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan akan ditubuhkan untuk memantau usaha para penyelidik di negeri ini.

“Bagi projek perintis, saya mengarahkan satu penyelidikan dijalankan dengan kerjasama Universiti Swinburne untuk mereka mesin penuaian buah kelapa sawit yang dilengkapi dengan penggera automatik bagi menentukan kematangan buah.

“Saya juga mengarahkan satu penyelidikan dilakukan ke atas pencarian bahan protein di antara sumber biodiversiti yang kaya di negeri ini bagi menggantikan protein DNA manusia apabila dijalankan oleh kampus utama Universiti Swinburne di Australia,” ujarnya.

Beliau melahirkan keyakinan untuk kejayaan penyelidikan terbabit yang akan menjadi sangat penting bagi pencarian berterusan untuk rawatan kanser. – Sarawakvoice