Jika memerintah, Harapan jadikan M’sia bebas rasuah dalam 10 tahun

KUALA LUMPUR: Jika mendapat mandat daripada pengundi untuk memerintah negara, langkah penting yang diambil Pakatan Harapan (Harapan) ialah memperkasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mempunyai kebebasan dan kuasa untuk mendakwa.

Bercakap pada sidang media pada Isnin, Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan dalam strategi memerangi rasuah, Harapan berjanji menjadikan Malaysia negara bebas rasuah dalam tempoh hanya 10 tahun.

Memetik laporan Amanah Daily pada Selasa, Syed Saddiq berkata, Harapan membentuk jawatankuasa berautonomi khas yang bebas daripada sebarang campur tangan.

“Jawatankuasa ini mesti dibentuk di bawah peruntukan khas Perlembagaan Persekutuan, dan merekalah yang akan melantik dan membuang ketua pesuruhjaya SPRM,” ujar beliau lagi

Menurutnya, SPRM diberi kuasa melapor terus kepada Dewan Rakyat.

Sementara, selain pembentukan jawatankuasa, Syed Saddiq menyenaraikan tujuh strategi lain yang turut memberi kesan kepada pesara kerajaan dan ahli politik.

Menurut beliau, SPRM juga diberi kuasa menyiasat pesara yang didapati hidup mewah berbanding kemampuan ketika mereka dalam tempoh servis atau selepas bersara.

Agenda lain memerangi rasuah menurut Syed Saddiq ialah memperluas takrif rasuah termasuk hadiah bukan duit yang menjadi amalan sebagai

buah tangan” semasa pilihan raya.

Syed Saddiq juga bersetuju bahawa media harus bebas daripada kawalan politik, memastikan pentadbiran yang baik tidak terancam.

“Jika kita berkuasa, tetapi 80 peratus strategi ini tidak diluluskan, saya akan menjadi orang pertama letak jawatan,” ujar Syed Saddiq. – Sarawakvoice