KUALA LUMPUR: Sekitar 7,810 majikan atau 1.05 peratus daripada hampir 568,000 majikan berdaftar di seluruh negara, didapati masih gagal melaksanakan tanggungjawab  mencarum untuk pekerja mereka melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Sementara, sekitar 10,000 pengarah syarikat telah diheret ke muka pengadilan kerana gagal memastikan syarikat memenuhi keperluan mencarum dengan KWSP.

Menurut Ketua Jabatan Penguatkuasaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Hardial Singh majikan boleh dihukum penjara dan/atau denda jika mengabaikan tuntutan Akta KWSP 1991.

Manakala, pemilik dan pengarah syarikat juga boleh diambil tindakan sivil serta dilarang keluar negara jika gagal melangsaikan tunggakan caruman pekerja mereka.

Bercakap pada temu bual dengan Bernama di ibu pejabat KWSP di Kuala Lumpur, Hardial berkata KWSP sentiasa melaksanakan pelbagai langkah memastikan majikan di negara ini melaksanakan tanggungjawab  membuat caruman untuk pekerja mereka.

Menurut beliau, KWSP mempunyai pasukan yang komited dan profesional menjalankan tugas.

Menurut Bernama, Hardial berkata, selain advokasi, pegawai dalam pasukan ini atau inspektor sedia memberi khidmat nasihat  kepada majikan yang memerlukan bantuan penjelasan.

Hardial berkata menjadi tugas penguat kuasa menghubungi majikan atau memberi notis peringatan disusuli lawatan pemeriksaan ke premis mereka jika gagal membuat caruman kepada pekerja mereka.

Tindakan terakhir ialah pihak KWSP terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan.

Beliau turut mendedahkan, penguatkuasaan KWSP berjaya mengutip semula caruman tertunggak RM2.99 bilion untuk 2016.

Sejumlah RM29 juta daripada jumlah tersebut dikutip melalui larangan keluar negara di bawah Seksyen 39(1)(a).

Menurut Hardial kini majikan dapat mencarum untuk pekerja melalui e-Caruman yang membolehkan majikan menghantar Borang A dan membuat caruman serta menyemak maklumat online melalui www.kwsp.gov.my. – Sarawakvoice