Bintulu hos Hari Kebangsaan peringkat S’wak, kibar Jalur Gemilang semarakkan patriotisme

BINTULU: Bintulu diberi kepercayaan oleh Kerajaan Negeri menjadi tuan rumah menyemarakkan sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak pada tahun ini.

Berucap merasmikan Showcase Merdeka Persatuan Anak Vaie Bintulu (PAVB), Ahli Dewan Undangan Negeri Samalaju Majang Renggi mengucapkan tahniah kepada PAVB yang bertanggungjawab menjadi pelopor penganjuran bersama-sama jabatan kerajaan dan agensi swasta.

Memetik laporan Utusan Sarawak pada Selasa, Majang menyeru agar rakyat sama-sama menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan dengan mengibarkan jalur gemilang termasuk di rumah sendiri.

“Itu adalah salah satu cara kita dapat menyemarakkan lagi semangat patriotisme kepada tanah air kita,” ujar Majang.

Bagi beliau, rakyat bertuah menjadi sebahagian daripada warga bagi negara yang berdaulat dan merdeka kerana dapat menikmati hidup dalam suasana harmoni, aman dan sejahtera.

Melalui nikmat kemerdekaan menurut Majang, rakyat di negara ini mempunyai sikap bertolak ansur dalam menjalin hubungan kaum, selain menjaga perpaduan sambil mempertahankan kemerdekaan negara sampai bila-bila.

Menurut beliau lagi pada program yang turut dihadiri ADUN Murum Kennedy Chuk Pai Ugon, menjadi tanggungjawab bersama rakyat mempertahan kedaulatan, kemakmuran dan keharmonian Malaysia. – Sarawakvoice