Terima kasih Pengiran!

KUCHING: Terima kasih. Itu ungkapan besar Pengiran Bala terhadap anak-anak buahnya selepas menjayakan misi besar; mengutip tiga mata dan mencipta kemenangan sulung di Stadium Negeri untuk musim ini.

“Saya berterima kasih kepada mereka kerana aksi yang bersungguh-sungguh, di sebalik usaha keras anak-anak buah Zainal Abidin Hassan untuk mencuri tiga mata,” katanya.

Aksi malam tadi katanya, adalah misi penting yang menentukan hidup mati pasukan.

“Mereka menunjukkan peningkatan yang drastik dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Dan kejayaan menumpaskan Selangor 2-1 dalam aksi Piala Malaysia, telah membakar semangat juang dan momentum ini diteruskan malam tadi.

Dua pemain muda, Nur Shamie Iszuan dan Awang Kamaruddin Awang Bohan muncul wira untuk menghampakan Pulau Pinang selepas meledakkan jaringan pada minit ke-50 dan 72, seterusnya membuka peluang kepada pasukan Ngap Sayot itu untuk keluar dari zon penyingkiran.

Pengiran turut memuji gol Awang Kamaruddin, lima minit selepas dimasukkan mengganti Shahrol Shahperi.

“Ia sesuatu yang istimewa kerana tidak pernah ditunjukkan dalam latihan sebelum ini,” tambahnya.

Dalam aksi tersebut, Awang Kamaruddin secara solo mengeluarkan bola dari kawasan pertahanan sebelum melakukan lambungan yang menewaskan penjaga gawang Pulau Pinang, Amirul Asyraf Mohd Shuhaidi.

Secara keseluruhan ulasnya, anak-anak buah bermain mengikut strategi yang dilakarkan, dan mereka berjaya melaksanakan proses berkubu sebaik berjaya menyumbat dua gol.

“Saya juga gembira dengan prestasi barisan pertahanan yang diketuai Demerson Bruno Costa, yang berjaya mengekang asakan Mark Andrew Hartman dan Sanna Nyassi.

“Malah dua pemain muda Jimmy Raymond menunjukkan aksi berkubu yang membanggakan bersama-sama Rodney Celvin Akwensivie.

Prestasi malam tadi juga tambahnya, banyak disumbang oleh kecemerlangan Mohd Shahril Sa’ari di pintu gawang, yang membuktikan betapa dia layak berada dalam kesebelasan utama selepas sekian lama direhatkan.

Pengiran berharap, prestasi positif ini akan terus dikekalkan untuk kekal bersaing dalam Liga Super pada musim depan.

Selepas 19 aksi dan berbaki tiga lagi perlawanan, skuad Bujang Senang itu masih ketinggalan satu mata di belakang Melaka United dan Kelantan, dan dua mata di belakang T-team.

Dalam tiga baki aksi, Sarawak akan bertandang ke Stadium Darulmakmur untuk bertemu skuad Tok Gajah pada 20 September, serta melayani Kedah di Kuching pada 30 September.

Aksi terakhir, akan menyaksikan pertembungan dengan T-team pada 21 Oktober.

Yang jelas, tiga aksi terakhir ini bukan sahaja menentukan nasib pasukan, malah menentukan siapa yang akan kekal beraksi pada musim depan. – Sarawakvoice