JAKARTA: Pegawai tentera di wilayah Jambi, Sumatera mengaku mengarah anggotanya pada Sabtu, agar menembak sesiapa sahaja yang sengaja membakar kawasan hutan.

Komander Menangani Kebakaran Hutan Kolonel Ref-rizal mengingatkan, arahan tersebut menunjukkan pihaknya serius mengambil tindakan, selepas beberapa siri peringatan dikeluarkan berhubung aktiviti sembarangan membakar hutan oleh orang awam.

Media Indonesia melaporkan arahan sama yang dikatakan dilaksanakan dengan cara bertanggungjawab itu, turut dikeluarkan oleh pihak berkuasa Sumatera Selatan.

Agensi Pengurusan Bencana (BNPB) berkata semenjak titik panas meningkat di seluruh Indonesia kepada 273 pada 30 Julai lepas, kerajaan mengisytiharkan darurat di lima wilayah di Indonesia termasuk di Kalimantan, Sumatera dan Jawa.

Menurut Kosmo yang memetik Reuters pada Ahad, BPNB bekerjasama dengan agensi kerajaan lain termasuk tentera membendung fenomena kebakaran hutan yang mengancam keselamatan awam dengan memudaratkan mutu udara dan mencetuskan fenomena jerebu.

Menurut jurucakap BNPB Sutopo Purwo Nugroho di Twitter, kini pasukan di Jambi berusaha memadam kebakaran hutan meliputi kawasan seluas 10 hektar.

Malah, menurut Sutopo lagi, pihak berkuasa turut menemui terdapat sebuah kawasan di Jambi yang sengaja dibakar oleh pemiliknya sendiri. – Sarawakvoice