Takut? Saintis tutup robot AI yang tiba-tiba cipta bahasa sendiri di FB

NEW YORK: Bukan kerana takut robot “menggulingkan” manusia sebagaimana digambarkan kebanyakan filem fiksyen, tetapi kerana rasa sangsi menyelewengkan bahasa Inggeris standard, robot bernama Bob dan Alice terpaksa ditutup di Facebook.

Menurut Digital Journal, pengkaji di Facebook terpaksa menutup program kecerdasan buatan “Artificial Intelligence” (AI), selepas robot tersebut “memandai-mandai” mencipta bahasa mereka sendiri untuk berkomunikasi.

Memetik Global News, robot bernama Bob dan Alice mencipta kod perkataan sendiri untuk berkomunikasi tetapi oleh kerana ia dikesan tidak lagi berbahasa Inggeris, pengkaji terpaksa mematikan sistemnya.

Saintis Facebook AI Research mendapati robot AI, Bob dan Alice dikatakan mengatur perkataan menjadi sesuatu yang tidak logik dan hanya boleh difahami oleh robot sahaja.

Contoh perbualan antara robot AI, Bob dan Alice:

Bob: i can i i everything else
Alice: balls have zero to me to me to me to me to me to me to me to me to
Bob: you i have everything else
Alice: balls have a ball to me to me to me to me to me to me to me to me

Pakar di Facebook menyifatkan, kelakuan ini hampir menyamai citra manusia yang mencipta perkataan pendek bagi merujuk kepada sesuatu hal.

Situasi ini menyamai satu kelompok atau kumpulan manusia yang sama, yang mampu mencipta dialek tersendiri sesuai dengan persekitaran khusus mereka, agar komunikasi lebih efektif.

Pengkaji di Facebook dalam blognya menulis, tujuan program dicipta adalah untuk mengajar mesin cara berunding yang akhirnya mampu berkomunikasi dengan manusia.

Menurut santis Mike Lewis, robot AI “Bob” dan “Alice” ditutup kerana ia hanya efektif “mencipta bahasa sendiri” untuk bercakap dengan sesama robot, tetapi didapati “menyeleweng” dan tidak mampu bercakap dengan manusia.

Pakar mengesan terdapat ralat dalam sistem kod sehingga robot tersebut mewujudkan bahasanya yang tersendiri. – Sarawakvoice