KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh hari ini menyatakan sebanyak RM 1.85 bilion berjaya dikumpul hasil tabung endowment yang ditubuhkan di 20 universiti awam sehingga Jun 2017.

Katanya, Universiti Malaya  (UM) mencatat kutipan tertinggi, iaitu RM1.6 bilion, diikuti  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan RM71 juta.

Idris berkata, universiti awam turut mempunyai tabung wakaf sebagai salah satu sumber penjanaan yang penting untuk kelestarian universiti.

“Jumlah kutipan wakaf setakat ini daripada 13 universiti awam ialah sebanyak RM23.05 juta. Kutipan tertinggi adalah RM8 juta daripada Universiti Putra Malaysia diikuti Universiti Sultan Zainal Abidin (RM4.84 juta),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) di sesi Dewan Rakyat, hari ini.

Ujarnya, sehingga kini, terdapat 13 universiti awam telah menubuhkan pusat wakaf dan mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Negeri (Main).

Tujuh universiti awam lain masih dalam proses untuk mendapatkan kelulusan Main.

Idris berkata, kementeriannya juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk membolehkan penyumbang wakaf mendapat insentif pengecualian cukai.

“Untuk penyumbang tabung endowment memang sudah ada insentif pelepasan cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan,” katanya.

“Selain insentif cukai, penyumbang tabung endowment dan wakaf juga akan menerima insentif kerohanian,” katanya lagi.

Menurutnya, bagi mereka yang memberi, biasanya mereka akan dapat kepuasan daripada pemberian mereka.

“Pemberi sumbangan wakaf misalnya, mereka tahu akan dapat pahala kerana wakaf adalah satu bentuk sedekah jariah,” jelasnya. – Sarawakvoice