Petros dan DBOS telah ditubuhkan secara rasmi — Abang Jo

Pengerusi, Lembaga Pengarah dan CEO yang nonpolitik telah dilantik

KUCHING: Syarikat petroleum milik sepenuhnya Kerajaan Negeri Sarawak, yang dikenali sebagai Petroleum Sarawak atau Petros telah ditubuhkan secara rasmi baru-baru ini.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkan khabar gembira itu dalam satu majlis malam tadi memberitahu, semua ahli lembaga pengarah syarikat itu telah pun dilantik.

“Mereka terdiri daripada profesional Sarawak yang berpengalaman luas dalam bidang industri minyak dan gas, dan tidak ada satu pun daripada mereka merupakan ahli politik,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Apresiasi Pejabat Ketua Menteri sempena sambutan hari jadi beliau ke-67 pada 4 Ogos lalu.

Abang Johari bagaimanapun tidak mendedahkan senarai nama ahli lembaga syarikat tersebut mahupun Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif pertamanya.

Penubuhan Petros adalah langkah awal Kerajaan Negeri untuk terlibat secara aktif dalam industri minyak dan gas di negeri ini, sambil meneruskan usaha mendapatkan royalti 20 peratus daripada Petronas.

Abang Johari turut memaklumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) juga telah dilantik dan bank itu akan memulakan operasinya tidak lama lagi.

“Lembaga Pengarah DBOS merupakan kalangan profesional dan bukan ahli politik manakala Pengerusi sulungnya ialah Setiausaha Kerajaan Negeri,
Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

“Kita telah melantik CEO, justeru prestasi beliau dan pasukannya akan dipantau oleh Tan Sri Morshidi dan ahli lembaga pengarah lain, yang berperanan memastikan bank ini dapat membantu membangunkan negeri ini.

Lanjut Ketua Menteri lagi, Kerajaan Negeri juga komited untuk membangunkan modal insan negeri ini dengan memberi peluang kepada anak Sarawak untuk melanjutkan pembelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Yayasan Sarawak akan meningkatkan jumlah biasiswa dan pinjaman untuk pelajar Sarawak yang layak memasuki pengajian pascasiswazah baik di universiti tempatan mahupun luar negeri.

“Malah saya juga telah memohon agar Yayasan Sarawak menyediakan biasiswa kepada semua pemohon pascasiswazah, terutama mereka yang melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD.

“Ini bagi memberi peluang kepada anak-anak negeri ini untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi, yang akan membantu menjayakan penyelidikan-penyelidikan baharu … terutamanya penyelidikan yang bertujuan menambah nilai kepada sumber-sumber yang kita miliki, “katanya.

Tambah Abang Johari lagi, satu Majlis Penyelidikan Negeri yang dipengerusikan Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan akan ditubuhkan untuk mengawasi semua usaha penyelidikan ini pada masa depan dan memastikan bagaimana mereka dapat memberi manfaat kepada negeri ini.

Sebagai permulaan, beliau secara peribadi telah mengarahkan agar penyelidikan dijalankan dengan kerjasama Universiti Swinburne untuk mewujudkan prototaip mesin penuaian biji kelapa sawit, yang dilengkapi sensor, dan secara automatik dapat menentukan kematangan buah.

“Saya juga telah mengarahkan agar penyelidikan dilakukan untuk mencari bahan protein daripada sumber biodiversiti di negeri ini yang boleh menggantikan protein DNA manusia; satu usaha bersama dengan penyelidikan yang dijalankan di kampus utama Universiti Swinburne di Australia.

Penyelidikan ini penting kerana identifikasi protein dan ekstraknya akan membantu usaha yang berterusan untuk mencari penawar kanser, tambahnya.

Turut hadir semua anggota kabinet negeri dan pegawai kanan kerajaan. – Sarawakvoice