Perjuangan Zainal Abidin belum berakhir

KUCHING: Tumpas 0-2 membuatkan Zainal Abidin Hassan hilang kata. Beliau ralat dengan prestasi suram anak-anak buahnya biarpun di atas kertas menguasai 60 peratus aksi di Kuching.

“Ya. Saya kecewa. Saya kecewa dengan keputusan ini,” ulasnya ringkas.

Katanya, anak-anak buahnya gagal bermain seperti biasa dan kesannya, mereka tercicir mata yang amat dicari.

“Keadaan makin tertekan apabila kita beraksi 10 orang.

Kredit Foto Stadium.My

“Kita terpaksa memberi tumpuan kepada disiplin bertahan untuk mengekang asakan, sambil melancarkan beberapa serang balas,” tambahnya.

Zainal mengakui, aksi di Stadium Negeri seharusnya menghadirkan keputusan berbeza.

“45 minit pertama, kita bermain dengan baik, biarpun aksi seimbang.

“Namun ketumpulan penyudah menghampakan,” katanya.

Katanya, layangan kad merah kepada Mohd Azrul Ahmad menyebabkan aksi menjadi pincang.

“Hakikatnya pasukan kita agak terdera selepas itu, namun para pemain tidak berputus asa untuk menghidu peluang yang ada.

“Pun begitu, disiplin bertahan Sarawak selepas itu menyukarkan usaha kita, apatah lagi selepas mereka berjaya menjaringkan gol kedua.

Kata Zainal, biarpun Pulau Pinang kini terperosok jauh, beliau tidak akan mengaku kalah.

“Selagi belum tamat,saya akan teruskan perjuangan dan keringat.

“Begitu juga saya berpesan kepada budak-budak; apa nak jadi dalam tiga aksi terakhir, jadilah.

“Kita kena berusaha… biarlah wisel penamat yang menentukan,” katanya lagi.

Baki Liga Super akan menyaksikan Pulau Pinang bertemu T-Team, Perak dan Selangor, untuk menentukan survival dalam Liga Super. – Sarawakvoice