Pengkhianat Felda akan diheret ke mahkamah – TPM Zahid

RAUB: Kerajaan tidak berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu ataupun tokoh yang didapati telah menyalahgunakan kuasa sehingga mengakibatkan kerugian terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia termasuk mengheret mereka yang bertanggungjawab ke mahkamah bagi membolehkan golongan peneroka mendapat keadilan sewajarnya.

“Kita tahu Felda ada sedikit masalah sedang mengganggu dan saya sokong tindakan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasat dan heret mereka yang bersalah ke mahkamah. Jangan aniaya peneroka dan keluarga Felda sebab asas perjuangan kita selama ini adalah untuk bantu mereka.

“Ya kita ada beberapa kelemahan, Insya-Allah kita janji untuk memperbaikinya. Ya, ada beberapa perkara tidak dapat perkirakan dari segi kesahihannya, namun kita akan betulkan Ya, kita ada kerugian dalam syarikat di bawah FGV dan ini kita akan pantau.

“Namun kita sesekali tidak akan lepaskan mana-mana individu atau jika ada tokoh yang terlibat,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Raub di UiTM di sini semalam.

Ia turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan sejak zaman Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sentiasa berusaha menjaga kebajikan warga Felda dengan menyediakan pelbagai kemudahan serta insentif dan perkara itu diteruskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan anaknya.

“Perdana menteri mahu meneruskan kesinambungan perjuangan ayahandanya dengan menjaga kebajikan 110,000 keluarga Felda di seluruh negara, sebab itu beliau mengumumkan pemberian insentif kepada peneroka baru-baru ini.

“Saya selagi menjadi pembantu kepada perdana menteri berazam akan terus menyokong apa sahaja perancangan untuk membantu warga Felda termasuk soal perumahan untuk generasi kedua.

Saya akan minta peruntukan yang lebih daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk bantu bina rumah generasi kedua dan ketiga Felda supaya mereka dapat duduk dengan selesa,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau yang juga Naib Presiden UMNO menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO mengingatkan peneroka Felda supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang sengaja menghasut mereka supaya membenci kerajaan.

“Jangan termakan hasutan mereka, kerana mereka tidak akan mampu untuk membantu peneroka seperti mana kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang dikuasai Barisan Nasional (BN) lakukan,” katanya. Bernama