75 tahi judi dijaring dalam 34 serbuan polis di seluruh negeri — Dev

KUCHING: Seramai 75 tahi judi berjaya dijaring menerusi 34 serbuan, yang dilaksanakan di 12 daerah pentadbiran polis sepanjang minggu lalu.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, serbuan yang dilakukan bermula 31 Julai hingga 6 Ogos itu dilakukan terhadap 29 penjual 4D haram, tiga serbuan judi siber, satu serbuan di gelanggang sabung ayam dan satu lagi melibatkan aktiviti berjudi di tempat awam.

Daripada jumlah itu katanya, tiga serbuan dilakukan oleh pasukan siasatan jenayah IPK Sarawak di Kuching, IPD Miri (7), IPD Kuching (6), IPD Sibu (5), IPD Padawan (4), IPD Dalat (2), IPD Kota Samarahan (1) dan IPD Bintulu (1).

IPD Serian, IPD Sarikei, IPD Lawas, IPD Marudi dan IPD Matu Daro juga melaksanakan masing-masing satu serbuan.

“Sebanyak 29 serbuan terhadap penjual 4D haram menyaksikan 35 individu diberkas dan wang tunai berjumlah RM9,685 dirampas.

“Turut disita telefon bimbit, mesin pencetak mudah alih, kalkulator, slip pertaruhan dan alat tulis.

“Tiga serbuan lain pula adalah berkaitan judi siber dan mesin ikan di Miri, yang menyaksikan 17 individu dicekup manakala 22 komputer dan komputer riba dirampas.

“Sejumlah RM741 wang tunai turut dirampas sebagai eksibit.

Dev berkata, serbuan terhadap gelanggang sabung ayam di Sibu pada semalam menyaksikan 17 kaki sabung ditahan di kawasan padang permainan di Sibu Jaya.

“Pelbagai peralatan untuk sabung ayam termasuk dua ekor ayam sabung turut dirampas.

“Di Dalat pula, enam individu dicekup ketika ghairah bermain judi ‘holo’ di tempat awam.

Secara keseluruhan katanya, daripada 75 yang dicekup, 54 adalah lelaki, dengan umur mereka sekitar 16 hingga 62 tahun.

“Lima daripada suspek merupakan warga asing.

“Kesemua mereka ditahan dan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 selain Ordinan Pencegahan terhadap Kekejaman Haiwan 1962.

Dev berkata, dengan operasi berterusan sejak awal tahun ini, sindiket perjudian di negeri ini hampir lumpuh.

“Namun kita tidak akan berhenti, dan akan meneruskan usaha memerangi perjudian di negeri ini.

“Kita tidak akan berlembut mahupun berkompromi, menyedari kedegilan pengusaha 4D haram yang terus menjalankan aktiviti mereka,” tegasnya lagi. – Sarawakvoice